Sekolah Menengah Agama Kelolaan JAIM Catat Keputusan SPM Membanggakan – EXCO Melaka

- Advertisement -

MELAKA – Sebanyak tujuh sekolah menengah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mencatat prestasi membanggakan apabila kesemua pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021 layak mendapat sijil.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, terdapat satu sekolah yang berjaya melahirkan pelajar cemerlang dengan mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.

Menurut beliau, kejayaan yang dilakar itu menunjukkan daya saing sekolah-sekolah agama tidak jauh berbeza, malah lebih baik berbanding sekolah-sekolah aliran konvensional yang lain.

“Daripada 44 buah sekolah yang mempunyai pelajar A dalam semua mata pelajaran, salah satunya adalah sekolah agama di bawah JAIM.

“Tahniah kepada Sekolah Menengah Arab Assyakirin di Jasin kerana berjaya berada dalam tiga senarai sekolah terbaik daripada aspek layak mendapat sijil, peningkatan gred purata sekolah (GPS) dan mempunyai pelajar yang mencatatkan keputusan semua A dalam SPM 2021,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai pencapaian SPM 2021 di Melaka, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Rosni Leman memaklumkan, semua sekolah mencatatkan GPS lebih baik sekali gus membantu meningkatkan pencapaian gred purata negeri (GPN) Melaka.

Katanya, Melaka mengekalkan GPN pada 4.83 mata bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2019.

“Pencapaian tahun ini lebih baik 0.03 mata berbanding gred purata nasional. Seramai 10,197 pelajar layak mendapat sijil, meningkat 1.1 peratus berbanding 2020.

“Jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran SPM 2021 adalah seramai 257 pelajar termasuk dua pelajar yang mendapat semua A+. Bagi pencapaian mata pelajaran teras pula, semua subjek merekodkan peratusan lulus melebihi 77 peratus,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat