Zahid Persoal Mengapa Parlimen Dibenar Bersidang Selepas Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan keputusan kerajaan yang hanya akan membenarkan Parlimen bersidang selepas 40 peratus populasi negara menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Zahid berkata, Ahli-ahli Parlimen telah lama menerima suntikan vaksin COVID-19 justeru sidang Parlimen selamat untuk diadakan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, lebih mengecewakan apabila kerajaan mengumumkan sidang Parlimen hanya akan diadakan selepas negara memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

“Lebih mengelirukan apabila dimaklumkan pada Fasa 3 semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali bagi aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif.

“Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi jangkitan COVID-19 termasuk pub, spa dan salon kecantikan.

“Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif yang sama seperti pub, spa dan salon kecantikan?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Zahid turut mempersoalkan: “Pihak manakah yang sebenarnya sengaja cuba menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat berkenaan prinsip Demokrasi Berparlimen”.

Beliau menegaskan gesaan supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting di Malaysia diteruskan.

“Parlimen sebagai sebuah badan legislatif mewakili suara serta hak rakyat dan badan perundangan tertinggi di Malaysia.

“Parlimen sebagai proses semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta pentadbiran negara supaya ianya telus dan jujur demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Ketika menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri bertajuk Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat pada Selasa, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen untuk mengadakan sidang Parlimen semasa fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara.

Menurut beliau, ia dijadual pada sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat