MEDAC, SIRIM Optimis Malaysia Pulih Melalui Strategi Pelan Pemulihan Negara – Wan Junaidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Strategi Pelan Pemulihan Negara bakal ‘menyelamatkan’ kira-kira 90 peratus usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berdepan risiko terjejas sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan secara berterusan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pada masa ini, sebahagian besar usahawan tersebut mempunyai tempoh selama tiga hingga enam bulan untuk bertahan, seterusnya tidak mampu lagi untuk menanggung kos overhed dan sebagainya.

“Kementerian optimis pemulihan secara berperingkat yang dirangka itu mampu memberi keseimbangan dalam membantu mempergiatkan kembali aktiviti ekonomi secara fiskal, pada masa sama dapat melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.

Beliau turut menyarankan usahawan IKS untuk beralih ke arah perniagaan berasaskan digital kerana ia mampu meraih keuntungan yang lebih besar ketika pandemik.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata Pelan Pemulihan Negara memberikan strategi yang jelas bagi negara untuk keluar daripada kemelut disebabkan pandemik COVID-19.

“Kejayaan pelan itu juga bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat dan pihak industri.

“Pematuhan ketat pada SOP dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi telah terbukti berkesan di kebanyakan negara dan kami percaya Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mencapai semula kehidupan normal,” katanya.

Menurutnya, SIRIM akan terus membina ketahanan perniagaan yang berterusan terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan selain melaksanakan peranan yang telah dimandatkan oleh kerajaan.

Katanya dalam menyokong usaha kerajaan untuk memerangi pandemik dan memastikan keselamatan rakyat, SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM akan memberikan 20 peratus rebat kepada pengeluar pelitup muka di bawah pakej perkhidmatan pengujian dan pensijilan, bermula 15 Jun sehingga akhir tahun 2021, tertakluk kepada terma dan syarat. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat