KUALA LUMPUR- Pakatan Harapan (PH) perlu mengenal pasti ‘keresahan’ sebenar rakyat dan menyelesaikannya, kata Datuk Seri Amirudin Shari, berbanding hanya menjadi ‘juara’ di media sosial dalam menarik pengundi muda yang dikatakan lebih cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PH Selangor berkata, jika keresahan itu dapat ditangani, gabungan tersebut mampu menikmati sokongan anak muda tanpa mengira pendekatan atau medium, merujuk saranan Undi18 supaya kerajaan memperbaiki naratif kelompok itu menerusi media baharu termasuk TikTok.
“Bukan masalah alat, atau ‘vehicle’, ia bukan isu TikTok, Instagram, kalau kita menggunakan alat apa sekalipun kita ‘address’ benda yang betul ia akan dapat tarik perhatian (anak muda),” kata Amirudin yang juga menteri besar Selangor selepas majlis perasmian hab warisan digital di Istana Puteri Bongsu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memetik FMT pada Khamis.
Terdahulu, portal itu melaporkan kenyataan Undi18 bahawa gelombang besar-besaran peralihan sokongan anak muda kepada PN ketika ini boleh berubah kepada PH jika kerajaan mendekati golongan terbabit dengan efektif menerusi media sosial.
Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, berkata PH perlu ‘menangkap imaginasi’ anak muda menerusi media baharu, merujuk sikap kumpulan itu yang mempunyai tahap kesetiaan politik rendah.
Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini merumuskan, walaupun calon PH menang di PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei lalu, PN masih mendapat sokongan kumpulan pengundi muda yang tinggi berbanding kerajaan perpaduan.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata beliau sendiri pernah melalui fasa menjadi pembangkang dan antikerajaan sebelum PH menjadi kerajaan pada 2008, disebabkan pemerintah ketika itu gagal memahami keresahan dihadapi rakyat.
“Kita pernah lalui zaman itu, saya pernah jadi orang anti kerajaan dalam pada itu kita tahu resahnya, kerajaan ketika itu gagal ‘address’ keresahan itu.
“Kerajaan Madani sekarang harus mengetahui keresahan itu supaya dapat ‘address the real issue’, bukan hanya ikut (selera anak muda) tetapi menjelaskan serta memahami dari sudut pandang kita,” katanya.
“Itu yang kena diperhatikan pasukan pemikir PH dan pimpinan supaya kita dapat menangani isu dan keresahan sebenar masyarakat.”