Menteri-menteri Umno akan bincang isu kalimah Allah di Kabinet esok – Azalina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri-menteri Umno akan membangkitkan isu kalimah Allah untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan, isu penggunaan kalimah Allah hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat kerana ia melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Dalam hal ini penelitian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu ini secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.

“Penyelesaian yang menyeluruh perlu dibincang dan dicapai, termasuk pendekatan perundangan yang kukuh yang merangkumi rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan selain pendekatan bukan perundangan,” kata Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno menegaskan bahawa Umno akan kekal terus berjuang menegak dan mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata nota itu hanya satu makluman kepada Jemaah Menteri terhadap keputusan yang dibuat oleh KDN, berkaitan tindakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, sebelum ini.

“Saya sedar mengenai perkembangan itu. Saya sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri beberapa bulan lepas mengenai tajuk (isu rayuan penggunaan kalimah Allah) ini.

“Nota jemaah menteri, dia ada dua bahagian. Kalau kamu mahu keputusan, ia adalah Memo Jemaah Menteri atau lain-lainnya adalah nota. Bermakna kami maklum kepada Kabinet mengenai keputusan KDN.

Dalam kes ini, ia adalah keputusan dibuat KDN dan sudah dimaklum kepada Kabinet,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat