SHAH ALAM: UMNO tidak akan terikat dengan mana-mana pakatan politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan, ‘pemetaan siasah’ dan wibawa politik parti itu akan dapat berdiri dengan kekuatannya sendiri.

Menurutnya, situasi tersebut dilihat mampu memberi ruang kepada parti itu untuk menawarkan sesuatu yang bijaksana kepada rakyat.

“Strategi kemenangan dalam PRU15 mesti diasaskan kepada kemampuan kita menawarkan masa hadapan rakyat yang lebih terjamin bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi tulisan di blognya pada Isnin.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu mendakwa, gelombang dan arus politik sebagaimana yang berlaku pada pilihan raya sebelumnya tidak mungkin berulang dalam PRU15.
Jelasnya, hakikat tentang gelombang dan arus politik itu turut diakui dalam kalangan pemimpin parti lawan sendiri.

“Modal politik mereka semakin menipis. Ini waktunya untuk UMNO menyusun gerak dan strategi yang mampan dan utuh.

“Ini bukan waktunya kita mempunyai perspektif dan pandangan politik yang bilis dan kabur,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar tawaran baharu politik UMNO mampu mencakupi keinginan semua peringkat atau generasi.

“Yang tidak kurang pentingnya untuk kita lakukan adalah melihat keperluan dan tuntutan pelbagai generasi dalam spektrum pengundi.

“Sementara kita mahu memenangi hati pengundi muda atau pengundi kali pertama, hemah dan nawaitu kita tidak boleh terasing daripada mereka yang selama ini setia menyokong kita,” ujarnya.

– Sinar Harian/Astro Awani