SPRM kena siasat juga Rauf, Sulaiman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa berlaku adil dengan siasatan terhadap bekas Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negara dan bekas Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, badan siasatan itu turut perlu memanggil bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan penjawat jawatan itu kini, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Kenapa SPRM tidak menyiasat Sulaiman yang merupakan Ketua Menteri daripada Umno pada ketika itu?

“Kenapa siasatan tidak dibuat juga kepada Rauf yang pada ketika itu merupakan Ketua Perhubungan Negeri Umno Melaka yang dikatakan menjadi penentu segala keputusan Ketua Menteri pada ketika itu?

“Siapa Exco atau Timbalan Exco dari Umno yang terkait dengan kelulusan konsesi tambakan laut?

“Kenapa Datuk Seri Idris Harun (bekas Ketua Menteri Umno) tidak disiasat sedangkan nama beliau disebut dalam laporan polis dan SPRM berkaitan kes ini?, soal Mohd Yadzil.

Semalam, SPRM menahan Mohamad Ali yang juga timbalan Ketua Penerangan Bersatu berhubung dakwaan rasuah.

Menurut peguamnya Rafique Rashid Ali, Mohamad Ali yang juga bekas ahli dewan undangan negeri ditahan pada pukul 6.30 petang, ketika pasukan SPRM menyerbu rumahnya di Tangga Batu di Melaka, lapor MalaysiaGazette, pada Rabu.

SPRM turut mengambil keterangan daripada isteri dan anak-anaknya di pejabatnya di Melaka, dan mereka dibebaskan kira-kira pada pukul 9 malam, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Yadzil berkata, SPRM perlu menyiasat perkara ini dengan telus dan tuntas.

Katanya, badan siasatan itu juga perlu memastikan semua pihak yang terbabit, pemberi, penerima dan yang bersubahat dikesan, disiasat, dan didakwa bersama dengan adil tanpa prejudis

“Tuntaskan segera siasatan isu konsesi pasir yang telah timbul sejak sebelum PRN Melaka 2021 yang lalu dan yang menjadi antara punca kemelut politik di Melaka sehingga terbubarnya DUN Melaka waktu tempoh PKP 3 tahun lalu.

“Semua yang terlibat harus didedahkan kepada umum agar rakyat Melaka terutamanya siapa dalang di sebalik isu pasir di Melaka,” katanya lagi.

Mohamad Ali direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berkaitan kerja-kerja tambakan laut antara 2021 hingga 2023.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman mengeluarkan perintah reman hingga 20 April terhadap lelaki berusia 61 tahun itu selepas menerima permohonan daripada SPRM.

Suspek disiasat kerana disyaki meminta suapan terhadap projek tambakan laut bernilai RM44 juta di Kota Laksamana, di Melaka sejak lima tahun lepas.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat