Nur Fazura bakal bergelar pengarah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Aktres popular, Nur Fazura, 40, berhasrat menduduki kerusi pengarahan selepas menubuhkan syarikat produksi, Fazura Pictures.

Nur Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin berkata, melalui syarikat produksi miliknya membolehkannya menghasilkan lebih banyak karya mengikut kehendaknya, selain turut berlakon.

“Saya masih mendalami bidang pengarahan sebelum bergelar sutradara.

“Setakat ini, dua karya terbitan Fazura Pictures membabitkan kempen raya menerusi filem pendek berjudul Adinda dan Kakak Kita ke Jakarta yang disiarkan di platform YouTube,” katanya kepada BH Online.

Tidak menafikan, tawaran lakonan tidak menepati cita rasa antara faktor menyebabkannya memilih bergerak menerusi Fazura Pictures.

“Tawaran berlakon memang banyak, cuma tidak menepati cita rasa saya.

“Kebanyakan jalan cerita diberikan banyak kisah ‘penyondol’, dua perempuan berebut seorang lelaki dan ia membosankan.

“Saya mahu memartabatkan maruah wanita melalui karya dihasilkan, selain mahu menerbitkan drama berkualiti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Perhimpunan Terbesar Pakaian Tradisional Melayu di Aeon Mall, di sini, semalam.

Terdahulu, program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Zuraidin Abdullah. Yang turut hadir, suaminya yang juga aktor, Fattah Amin.

 

Nur Fazura mahu menghasilkan lebih banyak karya mengikut kehendaknya, selain turut berlakon. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Nur Fazura mahu menghasilkan lebih banyak karya mengikut kehendaknya, selain turut berlakon. – NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

 

Nur Fazura berkata, dengan penubuhan Fazura Pictures menjadi misi utamanya untuk menghasilkan lebih banyak karya berbeza daripada sebelum ini.

“Pada masa sama, saya boleh berlakon dengan karya hendak saya. Selepas ini, pelbagai perancangan dilakukan.

“Tak kisah genre macam mana dan memang banyak genre saya hendak buat termasuklah filem seram.

“Bagaimanapun, karya dihasilkan hendaklah memberi manfaat kepada masyarakat kerana kebanyakan kita lihat dalam kaca televisyen adalah cerita mengarut.

“Sejujurnya, banyak cerita mengarut sebab tiada mesej yang hendak disampaikan,” katanya.

Mengulas perniagaan tudungnya, Nur Fazura melahirkan rasa syukur disebabkan jenamanya mendapat sambutan baik.

“Apa sahaja yang Allah SWT kurniakan kepada saya turut menjadi rezeki orang lain termasuk stokis, dropship, ejen dan semua pembeli yang dapat menjana pendapatan.

“Saya bersyukur dan mengharapkan apa yang dilakukan memberi manfaat kepada semua orang,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, terdapat banyak permintaan tudung bersaiz lebih besar, selain ada juga mahukan selendang.

“Insya-Allah, saya akan memenuhi permintaan kerana selalu menyokong saya,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat