KUALA LUMPUR – Malaysia kini tidak lagi terikat dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada Oktober tahun lalu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar tarif yang sebelum ini diumumkan oleh Presiden Donald Trump.
Menurut Johari, Malaysia dan AS masih dalam rundingan untuk menentukan kadar baharu tarif.
Katanya, di bawah ART yang ditandatangani pada tahun lalu, Malaysia dikenakan kadar tarif 19 peratus namun, buat masa ini kadar sebenar dikenakan hanya 10 peratus iaitu tarif global yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran Trump.
“Ia bukan dalam status tertunda. Ia tidak wujud, ia batal dan tiada kesan. Mahkamah Agung AS telah membuat keputusan.
“Jika mahu kenakan tarif, mereka mesti ada sebab.
“Jika mereka mendakwa ia kerana lebihan perdagangan mereka mesti nyatakan industri yang terlibat. Mereka tidak boleh mengenakan tarif secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Padang Blok B7, Desa Pandan, semalam.
Johari berkata, AS kini bergantung kepada Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 yang meletakkan Malaysia pada kadar tarif 10 peratus untuk tempoh lima bulan.
“Sekarang ini dia (Trump) pakai Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, meletakkan Malaysia pada kadar 10 peratus. Dalam tempoh lima bulan ini, dia akan ‘review’ untuk menggunakan Seksyen 301. Seksyen 301 akan menilai empat perkara utama.
“Langkah sementara ini mungkin diikuti dengan semakan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan di mana AS akan menilai sama ada tindakan, dasar atau amalan luar negara itu tidak munasabah atau diskriminasi serta memberi beban kepada perdagangan AS.
“Antara isu yang berkemungkinan diperiksa termasuklah ‘dumping’ berkaitan kapasiti berlebihan, dakwaan penyalahgunaan dalam pengeluaran atau amalan pengilangan seperti penggunaan buruh haram, bawah umur atau paksa, pelanggaran alam sekitar dan subsidi eksport yang boleh mengganggu persaingan.
“Selain itu, penilaian berkaitan isu persekitaran. Terakhir, sama ada kerajaan negara kita memberi subsidi kepada pengeksport yang menyebabkan harga produk lebih murah,” katanya menurut Utusan.
Tambah Johari lagi, syarikat yang didapati tidak mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan sekatan eksport ke AS manakala negara yang gagal menangani amalan tersebut boleh dikenakan tarif lebih tinggi.
Katanya, sektor eksport utama Malaysia yang berpotensi terjejas termasuk elektronik dan elektrik, minyak dan gas, komoditi perladangan seperti minyak sawit, sarung tangan dan produk berasaskan getah lain.
“Pendedahan perdagangan Malaysia kepada AS masih signifikan dengan eksport ke pasaran AS berjumlah kira-kira RM233 bilion pada 2025,” katanya.
Mengulas mengenai siasatan AS, Johari berkata, perkara itu tidak terhad kepada Malaysia sahaja malah melibatkan kira-kira 60 negara lain yang berdagang dengan AS.
“Malaysia perlu memastikan pengeksport mematuhi piawaian buruh dan alam sekitar bagi mengelakkan gangguan (tindakan AS sebelum ini terhadap penghantaran yang melibatkan isu buruh).
“Yang penting ialah apa yang kita lakukan mesti tidak merosakkan alam sekitar, negara atau iklim,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Johari yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno tidak perlu melayan mana-mana pemimpin atau parti politik yang terus berprasangka negatif terhadap usaha penyatuan Melayu dan Islam yang digerakkan parti itu melalui inisiatif Rumah Bangsa.
Beliau berkata, Umno perlu memberikan sepenuh perhatian kepada usaha untuk menyatukan kembali parti politik Melayu.
“Kalau ada parti-parti Melayu lain yang tidak mahu sertai, kita tidak boleh paksa. Jika mereka tidak mahu masuk, tidak perlu bergaduh. Kalau mereka menentang kita atau mengkritik, biarlah, jangan diambil hati,” katanya.



