KUALA LUMPUR – Ketua Pas Sungai Buloh Zaharudin Muhammad berharap Ahli Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai Ketua Pembangkang bagi memastikan keselarasan gerak kerja pembangkang di Dewan Rakyat.
Selain nama Samsuri, menantu kepada Presiden Pas itu juga turut mencadangkan nama lain bagi mengisi posisi Ketua Pembangkang iaitu Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Hamzah memberikan komen berkenaan kenyataan Presiden Pas bahawa Ketua Pembangkang ditentukan oleh majoriti Ahli Parlimen pembangkang. Dengan erti kata lain, kalau Pas nak pilih Ahli Parlimen Pas, tiba-tiba majoriti Ahli Parlimen Pembangkang mahukan beliau kekal, maka beliau akan kekal. Itu yang saya faham maksud Hamzah.
“Antara Hamzah dan Dr Sam, bagi saya jauh baik Dr Sam jadi Ketua Pembangkang kerana penting keselarasan gerak kerja. Jika tak, Perikatan Nasional (PN) buat keputusan A tiba-tiba di Parlimen Ketua Pembangkang buat keputusan B.
“Semoga semua Ahli Parlimen PN dapat memilih Dr Sam atau Takiyudin sebagai Ketua Pembangkang,” katanya dalam hantaran Facebook pada Rabu.
Dalam pada itu, Zaharudin mengulang cadangan, katanya untuk jawatan calon Perdana Menteri tetap Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk Idris Ahmad jika Perdana Menteri adalah daripada Pas.
“Tadi cadangan posisi Ketua Pembangkang, tetapi posisi PM saya tetap konsisten dan sependapat dengan Mursyidul Am bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk Idris Ahmad adalah lebih layak.
“Justeru Ketua Pembangkang dalam Parlimen tidak melibatkan pentadbiran negara atau pentadbiran Kerajaan Pusat,” ujar beliau.



