Andalusia, Bank Islam sedia pembiayaan peribadi tunai haji dan umrah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menyediakan pakej pembiayaan peribadi kepada umat Islam di negara ini mengerjakan umrah dan haji.

Andalusia Travel menyasarkan jumlah jemaah umrah akan meningkat kepada 80,000 setahun menjelang musim umrah 1446H.

Pengarah merangkap penasihat undang-undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris, berkata jumlah itu mampu dicapai dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Ida berkata, pembiayaan yang disediakan itu terbuka kepada semua dan mereka tidak perlu teragak-agak memohon kerana kini sudah banyak hujahan dan fatwa dikeluarkan berkaitan dengan pembiayaan umrah dan haji.

“Pada pandangan saya secara peribadi, menjalani ibadah umrah dan haji dalam keadaan tenang dari sudut kewangan iaitu hasil pembiayaan BIMB adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan mempercayai pakej murah disediakan seterusnya tertipu.

“Selain itu ada juga yang terpaksa menunggu giliran bermain kutu, terpaksa tunggu duit pencen namun pada ketika itu berkemungkinan terhalang akibat faktor kesihatan atau pun tidak sempat langsung untuk mengerjakan umrah atau haji,” katanya dalam ucapan sempena majlis menandatangani MoU bersama Bank Islam, lapor BH pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ida berkata isu pembiayaan peribadi itu sudah beberapa kali dirujuk kepada Muzakarah Haji dan Fatwa Kebangsaan dan pihak berkaitan memutuskan bahawa pembiayaan itu dibolehkan dan diharuskan dengan pematuhan tiga syarat.

“Antaranya pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur riba selain pemohon hendaklah mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan mengerjakan umrah dan haji.

“Mereka yang mendapatkan pembiayaan umrah atau haji ini adalah berlandaskan konsep ‘pembayaran tertangguh’ bagi memudahkan pengurusan kewangan peribadi tanpa perlu menjual segala harta mereka,” katanya.

Tambahnya, terdapat pelbagai kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam terutamanya kepada golongan mempunyai pendapatan tetap kerana skim pembiayaan itu adalah satu bentuk perancangan kewangan yang boleh mendisiplinkan seseorang untuk merancang waktu pelaksanaan ibadat umrah dan haji ketika usia muda.

“Ia hanya memerlukan sebanyak RM189.86 setiap bulan selama lima tahun. Jumlah itu ternyata lebih rendah jika dibandingkan komitmen golongan muda yang membeli telefon bimbit menerusi syarikat telekomunikasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kumpulan Perniagaan Runcit Bank Islam, Mizan Masram, berkata jumlah minimum pembiayaan adalah RM10,000 dengan tempoh bayaran maksimum selama 10 tahun.

“Sebagai pelopor Kewangan Islam di negara ini, kami amat berbangga untuk menjadi hab penyelesaian kewangan sehenti melalui penyediaan pelbagai produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan serta kehendak pelanggan yang berhasrat menunaikan umrah dan haji.

“Kami membantu mencukupkan simpanan ke Tanah Suci melalui kemudahan pembiayaan peribadi sehingga kemudahan pembelian tanpa tunai menerusi Kad Debiti Bank Islam Visa Tabung Haji dan Kad Kredit-i Bank Islam.

“Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haj diperkenalkan pada tahun 2020. la mempunyai ciri khas yang membolehkan pelanggan melakukan urusan perbankan Akaun Tabung Haji di semua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Islam,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat