Wujud Unsur Runding Terus, Projek Jana Wibawa Ditangguh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Projek Jana Wibawa telah diarahkan oleh Kementerian Kewangan supaya pelaksanaannya ditangguhkan bagi penelitian semula kerana didakwa terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid memaklumkan, Kementerian Kewangan telah mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata penangguhan projek membabitkan nilai RM5.7 bilion itu kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.

“Projek itu telah diberikan surat setuju terima (SST), dasar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan ialah bagi melihat semula sama ada tatacara perolehan dan tata kelola sesuatu perbelanjaan yang dikeluarkan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya ketika sidang media di Bangunan Parlimen, pada Rabu.

Zahid berkata, kementeriannya mengambil ketetapan agar tatacara perolehan diikuti sepenuhnya termasuk membuka tender-tender supaya projek itu dilaksanakan selepas proses tender disempurnakan.

Sementara itu, beliau berkata KKDW tidak akan berkompromi terhadap pelaksanaan infrastruktur di luar bandar terutama di kawasan terjejas banjir termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita takkan berkompromi dari segi pelaksanaan terutama jeda waktu dan akan berikan keutamaan di kawasan terjejas banjir seperti jambatan runtuh, rumah terjejas dan minta pegawai kementerian dan agensi melaksanakannya dengan segera,” katanya.

Beliau berkata KKDW juga berharap kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kementerian bagi memastikan setiap projek pembangunan dirancang berjalan mengikut garis panduan dan waktu ditetapkan.

Pada 2021, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman, meminta Kementerian Kewangan memberi penjelasan mengenai pelaksanan Program Jana Wibawa, iaitu program jana ekonomi pemerkasaan kontraktor Bumiputera berwibawa, berkaitan satu kontrak runding terus yang dianugerahkan kepada syarikat Samling Resoures Sdn Bhd bagi membina jalan Sarawak-Sabah Link Road, dari persimpangan Long Lopeng di Lawas, berjumlah RM1.13 bilion.

Katanya, hasil siasatan yang dibuatnya menerusi Suruhanjaya Syarikat Malayssia (SSM), beliau mendapati syarikat ini tidak menunjukkan sebarang rekod, sebaliknya beliau menemukan syarikat Samling Ecovast Sdn Bhd, yang merupakan syrikat usahasama di antara Samling Resources Bhd dan Ecovast Berhad.

“Hasilnya juga mendapati bahawa syarikat Samling Resources ini bukanlah satu syarikat Bumiputera,” katanya.

Sehubungan itu, Azis mempersoalkan kenapa projek yang dibangkitkannya itu diberi kepada syarikat bukan Bumiputera.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat