Kerajaan lulus lebih RM4.3 bilion projek bekalan air, pembetungan & tebatan banjir di Kedah – TPM

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan 38 projek bekalan air, pembetungan dan tebatan banjir bernilai lebih RM4.3 bilion di Kedah melibatkan 31 projek sambungan sedia ada manakala tujuh projek baharu di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Hj. Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan perkara tersebut di Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan (RSTP Kota Setar) di Jalan Lencong Timur, Tanjung Bendahara, dekat sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (AIR) PETRA, Dato ’ Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Hj. Alias Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd., Narendran Maniam; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Dato’ Hj. Abdul Ghafar Yahya; dan Pengarah Urusan UCM Construction Sdn. Bhd ., Datuk Ibrahim Mohamad.

Fadillah berkata kerajaan komited untuk meningkatkan liputan dan akses kepada sistem pembetungan berpusat menerusi pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat, pembinaan rangkaian paip pembetungan dan kerja-kerja penyambungan ke sistem pembetungan awam serta terus membangunkan sektor pembetungan negara selari dengan kepesatan pembangunan bagi memenuhi ekspektasi rakyat.

Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan sebanyak 21 projek bernilai RM1.9 bilion dengan RM184 juta diperuntukkan bagi tahun ini, manakala Jabatan Bekalan Air (JBA) Kedah pula menyelia 14 projek bernilai RM2 bilion dengan pelaksanaan tahun ini adalah RM59 juta bagi 11 projek dan RM5 juta pembiayaan pinjaman bagi tiga projek lain.

Menurutnya lagi, tiga projek di bawah JPP berjumlah RM316 juta dengan RM5.5 juta diperuntukkan dan antara projek baharu PETRA membabitkan pembinaan projek takungan luar sungai Sungai Karangan, Kulim dengan kos RM496 juta serta projek tebatan banjir Sungai Temin – Bata di Kubang Pasu dianggarkan bernilai RM290 juta.

Terdahulu, beliau berkata RSTP Kota Setar yang dibangunkan dengan kos pelaksanaan sebanyak RM238.8 juta merupakan loji terbesar di negeri Kedah dengan keupayaan merawat kumbahan sehingga 100,000 Penduduk Setara (Population Equivalent – PE). Loji ini mula menerima aliran kumbahan secara berperingkat sejak 9 Ogos tahun lalu.

Katanya, antara komponen utama pelaksanaannya termasuklah rasionalisasi 24 loji rawatan kumbahan sedia ada serta sistem pembetungan di 16 premis kerajaan, yang merupakan satu langkah strategik menggantikan loji-loji berskala kecil yang kurang efisien dengan sistem serantau yang lebih kolektif dan kos efektif.

“Projek RSTP Kota Setar merupakan projek di bawah PETRA, sebagai inisiatif penting kerajaan dalam menyediakan sistem pembetungan moden, cekap dan mesra alam kepada rakyat.

“Projek ini merangkumi pembinaan loji rawatan kumbahan berskala besar, rangkaian paip pembetungan baharu, serta kerja-kerja penyambungan ke sistem pembetungan awam yang lebih terancang. Loji ini akan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk sekitar Bandaraya Alor Setar, termasuk kawasan perumahan dan kejiranan di Derga, Kota Setar dan Alor Malai.

“Sistem rawatan moden ini akan memastikan semua kumbahan domestik dan perdagangan dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke badan air, sejajar dengan Pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, ”katanya lagi.

Ujarnya, pembinaan RSTP ini merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG), khususnya Matlamat Ke-6 (SDG6), yang menekankan kepentingan akses kepada air bersih dan sanitasi untuk semua dan selaras dengan prinsip keadilan sosial serta Teras Strategik Malaysia MADANI ke arah kesejahteraan insan.

“Loji ini akan diserahkan dan diselenggara oleh IWK sebagai sebuah agensi yang diberi kuasa melalui Perjanjian Konsesi 1993 untuk melaksanakan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan awam di Semenanjung Malaysia dan Labuan, ”tambahnya.

Tambahnya lagi, kementerian yakin dengan pengalaman dan kepakaran teknikal IWK sebagai syarikat pembetungan nasional mampu memastikan aset-aset pembetungan dioperasi dan diselenggara secara optimum sekali gus mengurangkan pencemaran kumbahan ke atas sumber air dan menyokong kelestarian alam sekitar.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat