KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa kuasa penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya tidak boleh dicabar.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, berkata siasatan akan terganggu dan tidak akan selesai jika semakan kehakiman difailkan pihak terbabit untuk mencabar siasatan agensi penguatkuasaan itu dibenarkan.
“Pelaksanaan fungsi berhubung penyiasatan jenayah tidak boleh dicabar dengan semakan kehakiman.
“Mahkamah (lain sebelum ini) dalam membuat keputusan berkali-kali mengingatkan bahawa dengan membenarkan semakan kehakiman berkaitan penyiasatan jenayah akan membuka lebih banyak ruang untuk mencabar setiap pelaksanaannya.
“Ia membawa kepada huru-hara dan kekacauan awam,” katanya berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, hari ini.
Daim atau nama penuhnya, Che Abdul Daim Zainuddin memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM pada 10 Januari lalu, melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas.
Turut dinamakan sebagai pemohon ialah isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta Ilham Tower Sdn Bhd, manakala SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden, petik BH pada Selasa.
Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab munasabah untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.
Jika mahkamah memberikan kebenaran itu, Daim dan keluarga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan pula, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.
Pada masa sama, bekas menteri itu mendakwa tiada tindakan dan siasatan dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun mereka dinamakan dalam Kertas Pandora.
Sementara itu, peguam bela Daim dan keluarga Tan Sri Tommy Thomas berkata SPRM tiada sebab munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa Daim melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.
“Kertas Pandora tidak mendedahkan sebarang kesalahan Daim di bawah undang-undang Malaysia.
“SPRM juga bertindak secara tidak sah apabila mengeluarkan 36 notis di bawah Seksyen 36(1) Akta kepada Daim dan ahli keluarganya supaya mendedahkan maklumat mengenai harta mereka yang berkaitan dengan kesalahan di bawah akta agensi penguatkuasaan itu,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Mac ini untuk keputusan permohonan terbabit.