Singapura Masuki Fasa Tiga 28 Dis, Vaksin COVID-19 Tiba Hujung Tahun Ini – Lee

- Advertisement -

SINGAPURA: Singapura akan memasuki Fasa Tiga pembukaan semula ekonomi dan sosialnya pada 28 Dis ini, dan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 dijangka tiba ke sini hujung bulan ini.

Pengumuman mengenainya dibuat Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam pengumuman beliau semalam mengenai perkembangan COVID-19 yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara republik itu.

“Kini tindakan kita dalam menentang COVID-19 bertambah kukuh. Kita terus meningkatkan keupayaan dalam aspek ujian dan prosedur.

“Kita juga meningkatkan keupayaan pengesanan kontak. Disebabkan usaha-usaha ini, kita sekarang sudah bersedia dengan Fasa Tiga,” katanya.
Singapura yang melaksanakan tempoh ‘pemutusan rantaian penularan’ selama lapan minggu bermula 7 April lepas bagi mengawal penyebaran pandemik itu, telah memasuki Fasa Kedua pembukaannya pada 19 Jun, selepas berada dalam Fasa Satu bagi tempoh hanya kira-kira dua minggu.

Menurut Lee di bawah Fasa Tiga, Singapura akan melonggarkan had kapasiti di kawasan awam, dan di tempat-tempat ibadat dengan “perubahan penting merujuk kepada persetujuan membenarkan kumpulan sehingga lapan jemaah berkumpul”, jumlah yang bertambah berbanding maksimum lima sebelumnya.

Bagaimanapun Perdana Menteri itu mengingatkan bahawa walaupun Singapura telah memasuki Fasa Tiga, “tempoh perjuangan masih panjang perlu diharungi sebelum beroleh kemenangan”.

“Virus COVID-19 masih belum dihapuskan sepenuhnya. Masih ada laluan jauh yang perlu ditempuhi,” katanya.
Lee mengakui di seluruh dunia, pandemik itu masih mengganas, dan sempadan antarabangsa masih kekal ditutup, menjadikan satu-satunya pilihan adalah “membuka semula sempadan kita dalam cara yang terkawal dan selamat”.

Singapura melaporkan kes pertama COVID-19 pada 23 Jan dan jumlah keseluruhan jangkitan ketika ini adalah 58,325.

Merujuk kepada vaksin, Lee berkata Pihak Berkuasa Sains Kesihatan republik telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech dalam menangani pandemik berkenaan.

“Kita juga menjangka lain-lain vaksin akan tiba di Singapura pada bulan berikutnya. Sekiranya semua berjalan mengikut rancangan, kita akan mempunyai vaksin yang mencukupi untuk semua di Singapura pada suku ketiga 2021,” kata Lee.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Singapura telah mewujudkan satu jawatankuasa yang dianggotai para doktor serta pakar bagi mencadangkan strategi vaksinasi.

Lee berkata kerajaan telah menerima pelbagai cadangan, antaranya cadangan supaya keutamaan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi seperti petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan, di samping warga emas dan kumpulan rentan.

Seterusnya jawatankuasa itu mencadangkan supaya proses vaksinasi dijalankan secara berterusan untuk penduduk selebihnya, dan meliputi seluruh penduduk negara pulau itu hujung tahun depan.

“Saya benar-benar yakin dengan pakar kita. Saya bersama rakan sekerja yang lain akan mengambil vaksin itu terlebih dahulu. Ini bagi menunjukkan kepada anda, terutama yang telah berumur seperti saya, bahawa kami percaya vaksin itu selamat digunakan.

“Kita telah putuskan untuk menjadikan vaksin ini percuma kepada semua rakyat Singapura, dan juga penduduk jangka panjang yang menetap di sini ketika ini.
– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,445FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat