KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengecualikan bayaran kepada pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis di Hospital Tenom.
Bukan cuma itu, Riduan juga memohon agar KKM menambah jumlah bilangan mesin dialisis baharu di Klinik Kesihatan Kuala Tomani dan Kemabong.
“Sabtu lepas selepas sidang Parlimen saya bergegas balik ke Tenom setelah mendapat aduan daripada pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis.
Katanya mereka perlu membayar rawatan setelah pihak hospital melaksanakan pekeliling daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya memahami kepayahan yang ditanggung pesakit. Selain membayar rawatan tiga kali seminggu walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi kos pengangkutan mereka sangat mencabar.
“Ada pesakit yang jauh seperti Kampung Alutok, terpaksa menempuh perjalanan jauh ke pekan Tenom semata-mata ingin mendapatkan rawatan. Ada juga yang terpaksa berbelanja sehingga RM120 (kos pengangkutan) seminggu dan RM180 (kos rawatan) sebulan untuk mendapat rawatan dialisis jika mereka daripada jauh seperti Kampung Alutok. Malah ada yang sudah mengalah tidak meneruskan rawatan sehinggalah meninggal dunia.
“Saya mencadangkan kepada kerajaan agar kecualikan mereka daripada membayar rawaran dialisis dan juga tempatkan mesin dialisis baharu di Klinik Kesihatan Kuala Tomani dan Kemabong,” gesa Riduan dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Tambah Riduan lagi, setahun lalu beliau telah memohon kepada KKM untuk tambahan mesin dialisis.
“Syukur ia ditambah dengan sumbangan pihak Petronas beberapa buah mesin dialisis.
“Jadi selepas ini saya akan mengajukan permohonan kepada Menteri Kesihatan iaitu sama ada menempatkan tambahan mesin di Klinik Kesihatan Kuala Tomani atau Kemabong atau mengecualikan pembayaran kepada mereka yang menerima rawatan dialisis ini,” ujarnya.