Tiga Calon Indera Mahkota Tak Hadir Debat, Saifuddin Kesal

- Advertisement -

KUANTAN – Tiga pencabar di Parlimen Indera Mahkota tidak menyambut cabaran debat membuatkan penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kesal.

Debat empat penjuru calon merebut kerusi Parlimen Indera Mahkota itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sepatutnya berlangsung malam tadi.

Susulan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang berkenaan berkata, semua calon sepatutnya mengambil peluang berdebat dalam usaha menerangkan situasi dan keadaan semasa untuk dinilai masyarakat di Parlimen itu.
 
Saifuddin yang juga Menteri Luar, menegaskan kesempatan debat itu juga perlu direbut untuk memperjelaskan lebih terperinci mengenai manifesto calon dan parti diwakili demi pembangunan rakyat.
 
“Saya dijemput oleh NGO untuk menyertai debat ini dan saya terima undangan itu dengan hati terbuka kerana itu satu kesempatan kepada semua calon menerang manifesto sendiri atau parti yang diwakili atau sebagainya.
 
“Jadi saya kesal ketiga-tiga rakan saya yang bertanding di sini memilih untuk tidak datang. Saya menganggap debat seperti ini penting kerana pertama ia boleh meningkatkan tahap diskusi dalam politik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Saifuddin lagi, debat berkenaan
  boleh memberi peluang kepada politik baharu atau politik ilmu di mana kita mencari idea yang terbaik untuk pembangunan kawasan di Indera Mahkota.
 
“Selain itu ia turut memberi peluang kepada pengundi menilai calon-calon kerana akhirnya siapa yang menjadi wakil rakyat akan berdebat di Parlimen. Oleh demikian ia kesempatan yang sangat mustahak,” ujarnya.

Debat calon Indera Mahkota sepatutnya berlangsung malam tadi di Dewan Atabara Indera Mahkota merupakan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Wong Ser Warrior 294.

Tujuan debat itu diadakan bagi mengulas, membincangkan  dan membahaskan  senario politik semasa  dan manifesto di kalangan calon sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain Saifuddin, debat itu pada awalnya dirancang membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Quek Tai Seong dan calon Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail yang bertanding pada Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun Quek dan Zuraidi dikatakan sudah memberi maklum balas apabila mereka tidak berminat menyertai debat tersebut.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang juga mempersoalkan kemampuan calon yang tidak berminat berdebat sedangkan kaedah itu menjadi kemestian apabila berada di Parlimen kelak.

Ujar beliau, pengalamannya sebelum ini sebagai ahli parlimen, timbalan menteri dan menteri telah membuktikan kredibilitinya yang bukan sahaja memilik pengalaman berdebat di peringkat nasional malah juga di luar negara.

“Saya bersedia berdebat kerana pernah melakukan sebagai ahli parlimen, timbalan menteri dan menteri yang bukan sahaja di pentas kebangsaan tapi juga di peringkat antarabangsa kerana akhirnya ahli parlimen mesti bersedia membawa idea bernas ke seluruh persada dan pentas bagi kebaikan rakyat,” katanya.

Saifuddin juga mengulangi komitmen untuk memberi tumpuan memulihkan ekonomi demi masa depan rakyat di Indera Mahkota sekiranya memenangi parlimen itu buat penggal kedua pada PRU15.

Jelas beliau, Indera Mahkota akan dibangunkan sebagai hub ekonomi digital dengan merancakkan aktiviti sama untuk syarikat pemula buat anak muda selain membantu perniagaan usahawan industri kecil dan sederhana.

“Di Indera Mahkota juga, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) memiliki banyak tanah seluas 3,500 ekar dan hanya sebahagian kecil digunakan dan masih banyak lagi tanah boleh diterokai dengan memberikan suntikan segar menerusi aktitivi baharu seperti hub perabot kerana Pahang adalah pengeluar kayu balak.

“Jadi perkara ini akan difikirkan selain saya turut komited dalam soal pendidikan dan infrastruktur di mana semuanya berbalik kepada soal pokok iaitu memulihkan ekonomi untuk menjamin kehidupan rakyat yang selesa pada masa akan datang,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat