Pengendali TASKA Harap Dapat Manfaat Belanjawan 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak pengendali Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) berdaftar sedia ada, mengharapkan turut dapat menerima manfaat melalui peruntukan geran padanan sehingga RM20 juta bagi penyediaan kemudahan itu di sektor swasta yang dibentangkan pada Belanjawan 2021.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Anisa Ahmad, berkata walaupun peruntukan itu dikhususkan bagi menggalakkan sektor swasta mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di premis mereka namun dalam keadaan mencabar kini, operasi TASKA sedia ada lebih memerlukan bantuan berkenaan bagi kelangsungan perkhidmatannya.

“Dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, saya tidak rasa ramai pihak di luar sana sanggup mengambil risiko membuka TASKA baharu dan geran padanan itu boleh digunakan untuk membantu TASKA sedia ada yang berdepan waktu sukar.

“Sehubungan itu, melalui geran padanan itu kami memohon supaya kerajaan turut memperuntukkan sedikit untuk membantu kelangsungan operasi TASKA sedia ada.

“Geran padanan itu boleh membantu pengendali TASKA untuk menampung kos operasi dan menambah baik kemudahan yang ada untuk menyediakan perkhidmatan terbaik demi pembangunan anak bangsa, ” katanya kepada BH, di sini.

Melalui Belanjawan 2021, kerajaan menyediakan geran padanan sehingga RM20 juta bagi menggalakkan sektor swasta menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di premis mereka.

Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi menyediakan TASKA di bangunan kerajaan khususnya hospital.

Pada masa sama, Anisa berkata, jika peruntukan itu turut diagihkan kepada TASKA sedia ada, ia dijangka dapat menangani isu kewujudan pusat jagaan itu yang tidak berdaftar di negara ini.

Justeru katanya, langkah berkenaan jika direalisasikan berupaya menggalakkan lebih banyak pengendali TASKA untuk berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga boleh mewujudkan lebih banyak TASKA panel kerajaan dengan menjalinkan kerjasama bersama perkhidmatan swasta bagi memudahkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka.

“Sebagai contoh jika penjawat awam ini tinggal di Kuala Lumpur dan pejabat mereka di Shah Alam, ia mendatangkan kesukaran buat ibu bapa untuk menghantar anak ke TASKA di pejabat kerana jauh, apatah lagi jika mereka menunggang motosikal, ia boleh mendatangkan bahaya buat anak kecil.

“Justeru, pihak majikan perlu diberi kemudahan untuk menjalinkan kerjasama dengan TASKA swasta berdaftar untuk berfungsi sebagai TASKA panel kerajaan, ” katanya – Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat