KUALA LUMPUR – Cabaran buat Malaysia mutakhir ini semakin memuncak, umpama negara ini dicabut keberkatannya dengan pelbagai siri keadaan sangat merisaukan malah mengerikan.
Tan Sri Annuar Musa berkata, buli melampau-lampau,rogol dan bunuh berlaku umpama bersiri di sekolah, tempat yang sepatutnya paling selamat dan terbaik untuk anak-anak kita.
“Di rumah pula setiap keluarga bergelumang dengan tekanan kos dan sara hidup yang semakin membebankan,tarif elektrik yang tinggi,harga minyak yang makin mahal dan keperluan harian yang makin di luar kemampuan.
“Para peniaga sana sini mengeluh, baik yang besar maupun yang kecil.Tekanan cukai pula menghimpit semua tanpa kecuali dari cukai SST yang melambung hinggalah kepada cukai pendapatan dan cukai korporat dan perniagaan.
“Entah di mana tidak kenanya,sehinggakan pengumuman insentif kerajaan dan pembentangan belanjawan negara di sambut suram.
“Umpama negara di cabut keberkatannya. Entah mengapa,” keluh AJK Pas Pusat itu.
Justeru, Annuar menyeru rakyat harus sama-sama berdoa agar keadaan ini bertambah baik dan menenangkan.
“Kerajaan pula diharap teruslah berikhtiar memperbaiki keadaan ini.
“Para pemimpin pula harus fokus kepada kerja dan tugas.Jangan remehkan isu.Jangan sibuk menuding jari sana sini.
“Pembangkang juga ada peranan.Sokong usaha baik kerajaan.Tegur apa yang kurang.Cari dan tawarkan alternatif sekiranya dirasakan yang ada sudah gagal.
“Semoga Allah melimpahi rahmat dan keamanan buat negara kita. Jangan lupa bermunajat dan berdoa pada Allah SWT. Selamatlah Malaysia,” ujarnya.



