KUALA LUMPUR, – Laporan media yang mendakwa bendera Malaysia telah dikembalikan kepada tujuh pemain warisan negara di laman web Transfermarkt telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Hakikatnya, kedudukan pemain warisan tidak sama dengan status kewarganegaraan, dan isu sebenar yang dibangkitkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bukan mengenai pasport Malaysia mereka, tetapi status pendaftaran pemain warisan di bawah peraturan FIFA.
Tujuh pemain terbabit Facundo Garces, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado sebelum ini digantung oleh FIFA selepas didapati berlaku pemalsuan dokumen dalam proses pendaftaran mereka sebagai pemain warisan.
Walaupun kemas kini terbaru di laman web Transfermarkt menunjukkan semula bendera Malaysia pada profil mereka, perubahan itu tidak membawa makna bahawa penggantungan FIFA telah ditarik balik.
Laman tersebut hanyalah pangkalan data bebas yang tidak mempunyai autoriti rasmi dalam menentukan status sah pemain antarabangsa.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah mengemukakan rayuan kepada FIFA dengan menegaskan bahawa kesalahan yang berlaku berpunca daripada kesilapan teknikal semasa penghantaran dokumen pemain-pemain warisan, bukan penipuan yang disengajakan.
Sumber dalam FAM memaklumkan, proses rayuan sedang berjalan dan keputusan rasmi daripada FIFA masih belum diterima.
Sementara itu pemerhati bola sepak negara menjelaskan, “Pemain warisan ini tidak hilang kewarganegaraan Malaysia, tetapi apa yang dipersoalkan oleh FIFA ialah proses pengiktirafan status mereka dalam sistem perpindahan antarabangsa. Bendera di Transfermarkt bukan petunjuk rasmi.”
Peminat diingatkan supaya tidak membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan paparan laman web pihak ketiga, sebaliknya menunggu penjelasan rasmi daripada FAM dan FIFA.— SuaraTv



