KUALA LUMPUR – Setiap tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan adalah ‘without fear or favour’, tanpa ada campur tangan dan kacau ganggu oleh mana-mana pihak, bahkan adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.
Keyakinan itu dizahirkan berulang kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dalam isu laporan Bloomberg bertarikh 26 September 2024 berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan perundangan yang boleh dikenakan adalah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian bagi maksud penyebaran kandungan palsu.
“Walaupun fitnah (defamation) tidak disebut secara khusus dalam seksyen ini, seseorang yang menyebarkan maklumat palsu atau menyakitkan hati melalui media elektronik atau rangkaian komunikasi boleh didakwa di bawah peruntukan ini.
“Dalam konteks fitnah, sekiranya ia melibatkan tuntutan sivil, perkara ini perlu pertimbangan sewajarnya mengambil kira kedudukan undang-undang serta kewajaran tuntutan tersebut dibuat,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata demikian menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang memintanya menyatakan adakah kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan SPRM sehingga telah mencemarkan imej Perdana Menteri sebagai pejuang yang bersungguh-sungguh memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut Anwar lagi, kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media dan menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Walau bagaimanapun, kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak, sebaliknya harus dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika, dan mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia.
“SPRM melalui kenyataan medianya pada 27 September 2024 telah menafikan dakwaan berita yang disiarkan di sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa yang menyatakan bahawa SPRM telah menerima arahan daripada pihak tertentu agar tidak melakukan siasatan terhadap individu tertentu membabitkan pembelian saham sebuah syarikat. Laporan berita yang disiarkan tersebut adalah tidak tepat serta tidak berkredibiliti.
“Sebagaimana sering saya tekankan, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh SPRM adalah ‘without fear or favour’, tanpa ada campur tangan dan kacau ganggu oleh mana-mana pihak, adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang,” tegas Perdana Menteri.
Pada 26 September, sebuah portal tempatan memetik Bloomberg melaporkan dakwaan Anwar mengarahkan SPRM untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador.
Justeru kata Anwar, susulan daripada laporan berita tersebut, satu laporan polis telah dibuat oleh SPRM pada 27 September 2024.
Selain daripada itu, merujuk kepada laporan Berita Harian bertarikh 9 Oktober 2024, kes ini juga sedang dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“PDRM telahpun mengambil keterangan beberapa individu pada 1 Oktober 2024, 8 Oktober 2024 dan 11 Oktober 2024 termasuk wakil Bloomberg Malaysia. Siasatan PDRM mendapati kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh Bloomberg Singapura, disunting oleh Bloomberg Hong Kong dan tiada kaitan dengan mana-mana individu dari Bloomberg Malaysia.
“Justeru, kerajaan melalui PDRM telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 1 Oktober 2024 bagi mendapatkan laporan penuh.
“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Howard Lee Chuan How (PH- Ipoh Timor), Anwar berkata, walaupun beliau menyokong prinsip kebebasan tetapi tetap memerlukan pemantauan supaya ia tidak digunakan untuk mempertahankan kezaliman, rasuah dan penyelewengan.
“Total freedom for the wolf, means death for the lamb. Kalau (beri) kebebasan penuh kepada serigala maknanya hancur kambing-kambing ini dibelasahnya, oleh demikian kebebasan itu harus melihat apakah ia digunakan (dengan baik),” tegas beliau.
Sementara itu, beliau menegaskan, kelulusan kontrak yang dikaitkan dengan Farhash adalah dibuat semasa kerajaan terdahulu.
“Saya tidak mahu panjangkan kerana ini melibatkan isu-isu yang bagi saya remeh, melibatkan individu. Kerana kebetulan dia pernah (semasa) empat ke lima tahun lalu menjadi kakitangan saya maka ia dibangkitkan.
“Saya nak beritahu, kelulusan kepada syarikat itu adalah semasa kerajaan terdahulu. Semasa itu Farhash belum menjadi anggota syarikat tersebut. Kemudian, syarikat yang berkenaan sekarang dimiliki oleh Tuanku, sebahagian besar sahamnya,” katanya.