KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak mudah untuk kerajaan memerangi rasuah terutamanya apabila melibatkan jerung-jerung perasuah kerana ia akan dianggap sebagai tindakan politik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jerung-jerung perasuah ini akan memperalatkan kekuatan dana, jaringan menerusi media, parti politik bahkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerang balik kerajaan sebagai reaksi balas.
“Adakah ia mudah? Tidak. Kerana apa juga tindakan terhadap jerung-jerung besar ini mesti akan menimbulkan reaksi kerana (mereka ada) dana kekuatan, jaringan iaitu melalui media, parti politik, melalui kegiatan-kegiatan NGO (yang) akan tentu diperalatkan untuk menyerang tindakan kita.
“Jadi setiap kali ambil tindakan semuanya dikatakan itu tindakan politik.
“(Ini) termasuk kalau ada RM200 juta di rumah atau RM5 juta di rumah semua dikatakan tindakan politik.
“Jadi apakah tindakan kita menentang rasuah ini harus memadamkan semua yang simpan RM5,6 juta di rumah tanpa asas,” bidas Anwar.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang (PN), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengemukakan soalan apakah kesan-kesan positif susulan kerajaan bertegas tentang isu tatakelola dan rasuah yang telah meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta.
Operasi itu dilakukan SPRM susulan siasatan skandal rasuah jutaan ringgit membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berkaitan konsesi perlombongan pasir dilakukan syarikat cabang pelaburan negeri itu.
Difahamkan, pangsapuri di Kuala Lumpur itu menjadi tempat penyimpanan wang hasil rasuah milik seorang individu berpengaruh dan ia dipercayai digunakan untuk tujuan tertentu termasuk politik.
SPRM dikatakan menemui sejumlah mata wang Singapura SG$1,529,000 atau kira-kira RM5 juta selepas menggeledah rumah berkenaan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyatakan soal tatakelola dan gerakan menentang rasuah itu tentunya menjadi salah satu faktor syarikat datang melabur.
“Hal ini kerana mereka yakin tidak perlu ada komisyen bila dia datang melabur, tidak perlu ada 20 peratus untuk syarikat-syarikat kroni. Ini amalan yang tidak boleh dinafikan kebanyakan syarikat baru yang datang yang pernah melabur dulu semua menyatakan mereka bangga kerana tidak ada (lagi) syarat tersebut.
“Baru-baru ini syarikat besar umpamanya termasuk bila ada pemilikan tanah di Selangor dan cara proses itu dipercepatkan tanpa komisyen itu membantu pelaburan.
“Keduanya, penjimatan dana itu besar boleh tengok dalam Belanjawan 2025 yang dibentang Jumaat ini. Dengan ketegasan kita mengelak rundingan terus dan tender yang lebih telus itu menyebabkan kos masih dapat dikurangkan.
“Sebab itu kita harus tegas dan teruskan. Apakah ia mudah? tidak, memang dihargai oleh rakan-rakan kita di Pakistan dan Bangladesh tetapi saya terima kenyataan bahawa ia tidak mudah,” ujar beliau.