KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani akan memastikan semua dasar dan inisiatif yang direncana akan mengutamakan agenda kebajikan rakyat bagi memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada menikmati pembangunan dan kemakmuran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menekuni permasalahan kos sara hidup serta berbincang mengenai kaedah terbaik dalam meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil.2/2024 di Putrajaya, semalam (Isnin). Mesyuarat ini adalah platform untuk kerajaan menekuni permasalahan kos sara hidup serta berbincang mengenai kaedah terbaik dalam meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan bahawa indikator ekonomi Malaysia yang menunjukkan prestasi memberangsangkan kebelakangan ini, hanya mampu dimaknai sekiranya ia diterjemah dalam kehidupan rakyat terbanyak,” jelas Anwar dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam ruang yang sama, beliau juga meminta Ketua Setiausaha Negara memastikan tindakan segera diambil oleh kementerian dan agensi berkaitan setelah sesuatu keputusan dicapai.
“Saya turut mengulangi gesaan menuntut perkhidmatan awam menekankan aspek kepantasan, ketelusan dan penjimatan bagi meningkatkan tatakelola dan mutu penyampaian perkhidmatan,” ujar Perdana Menteri.