Beberapa jam tular, Mara urus pelajar cemerlang duduki ujian khas MRSM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kemiskinan bukan lagi halangan untuk meraih impian, apabila Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bertindak cekap dan berkesan membantu pelajar cemerlang di Bachok, Nur Nasuha Nusi, 12 untuk menduduki ujian kecenderungan MRSM (UKKM) dan ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai.

Hanya beberapa jam selepas kisah sedih Nur Nasuha gagal untuk menduduki peperiksaan khas MRSM mendapat perhatian Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipaparkan ia terus mendapat reaksi segera Pengerusi Mara.

“Saya sudah minta Mara untuk hubungi ibu bapa pelajar ini. Insya-Allah pihak MRSM Kuala Krai akan bantu uruskan pengangkutan pelajar miskin ini untuk dibawa ke MRSM Kuala Krai bagi menduduki peperiksaan UKKM.

“Saya telah sebutkan banyak kali jangan jadikan alasan kemiskinan mahupun kekangan kewangan sebagai faktor penghalang untuk menyambung pengajian. Mara akan cuba sedaya upaya untuk membantu agar tiada pelajar cemerlang yang tercicir. Maklumkan terus kepada saya jika ada kes-kes sebegini.

“Untuk pengetahuan semua, Bahagian Pendidikan Menengah Mara telah maklumkan kepada saya tarikh baharu UKKM pada yang mohon ditukar atas pelbagai sebab akan dimaklumkan pada 23 Oktober ini,” catat Asyraf di Facebooknya pada Selasa.

Sebelum itu, media melaporkan Nur Nasuha meluahkan hasrat hatinya selepas dia bersedih kerana tidak dapat menjalani ujian kelayakan ke MRSM kerana tidak mempunyai kenderaan disebabkan kemiskinan keluarganya.

“Saya benar-benar nak masuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), nak belajar sungguh-sungguh, kerja dan bayar hutang mak, ayah,” luah pelajar cemerlang, Nur Nasuha.

Dia sepatutnya menduduki ujian kecenderungan MRSM (UKKM) dan ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai pada 8 Oktober lalu.

Bapa Nur Nasuha, Mohd Nusi Mamat, 38 berkata, dia tidak dapat menghantar anaknya itu menduduki ujian berkenaan kerana tidak mempunyai wang selain hanya mempunyai motosikal.

Katanya, mereka menghadapi masalah kewangan sejak dia terpaksa berhenti kerja sebagai mekanik kerana penyakit gastrik kronik sejak dua tahun lalu.

Nasuha yang sering mendapat tempat pertama dalam kelas berkata, dia berharap pihak Mara dan pihak berkaitan dapat membantunya menduduki peperiksaan khas itu yang difahamkan masih berlangsung sebelum ditempatkan di MRSM pada tahun depan.

Dia mendapat tawaran menduduki peperiksaan khas kemasukan ke MRSM selepas mendapat keputusan cemerlang dalam keputusan pentaksiran bilik darjah pertengahan sesi akademik 2024/25.

Sementara itu Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, pihaknya akan membantu dan memaklumkan agar Nur Nasuha dan keluarga tidak segan untuk minta pertolongan.

“Maafkan kami, dik. Kita pakat bantu Insya-Allah. Tidak perlu segan untuk minta pertolongan. Ramai yang sedia membantu.

“Terima kasih Adun Jelawat dan penghulu, segera tinjau dan hulurkan bantuan awal, juga kiriman sedikit sumbangan ambo (saya) dan rakan-rakan budiman di Parlimen.

“Semoga dipermudahkan segala urusan, dan semoga beroleh kejayaan dalam pelajaran, Insya-Allah,” katanya

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat