IDEA unik Kelembai Band setiap kali menghasilkan klip video parodi sentiasa dinanti peminat.
Mula dikenali enam tahun lalu selepas klip video parodi mereka menyanyikan lagu Basikal Tua tular di media sosial, Kelembai Band berjaya mencuri perhatian ramai kerana sentuhan kreatif dalam menghasilkan video berkenaan.
Malah, peminat Kelembai Band pasti tidak akan melupakan klip video parodi yang penyanyinya ketika itu secara tiba-tiba keluar dari peti sejuk sambil menyanyikan lagu Hatiku Kau Guris Luka yang juga lagu asal Sweet September.
Keunikan kumpulan ini yang menampilkan kelainan dengan menggunakan prop seperti topi keledar, baldi serta topeng tanpa menunjukkan wajah sebenar berjaya mencipta identiti sendiri.
Sejak itu, nama Kelembai Band mula menjadi sebutan sehingga mereka banyak dijemput stesen TV selain undangan menyanyi di pentas bersama artis terkenal.
Namun, sejak pandemik Covid-19 melanda, undangan untuk persembahan sudah tiada seperti sebelumnya. Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana masing-masing mempunyai pekerjaan lain.
Berpeluang bertemu dua anggotanya, Buang dan Raoh di Kulim, Kedah, baru-baru ini, banyak perancangan yang mereka sedang dan akan lakukan termasuk memuat naik klip video parodi terbaharu dalam masa terdekat.Raoh yang juga pemain bass berkata, klip video terbaharu itu menampilkan kelainan dari segi pemilihan lagu yang dibuat khas untuk peminat.
“Dalam klip video kali ini, kami akan tampilkan tiga medley masing-masing lagu dalam bahasa Inggeris, lagu tempatan dan sebuah lagu dari negara jiran.

“Setakat ini semuanya sudah siap dan hanya menunggu masa sesuai kemungkinan dalam minggu ini juga untuk kami memuat naik video itu dengan memberi sedikit kelainan melalui lagu,” katanya.
Menurutnya, selain memberi kelainan kepada peminat sedia ada, mereka juga cuba untuk menambat hati peminat negara jiran.
“Untuk video kali ini ia agak berlainan dengan intro, tengah dan bahagian akhir akan dinyanyikan dalam tiga lagu berbeza dan berlainan bahasa.
“Walaupun agak sukar untuk menghasilkan video ini, namun kepuasannya mula timbul apabila ia berjaya disiapkan hasil kerjasama semua,” katanya yang mengakui kebanyakan video dihasilkan mereka sebenarnya bergantung kepada ‘mood’ setiap ahli kumpulan.
Sementara itu, pemain gitar, Buang turut berkongsi perkembangan terbaharu mereka yang kini dalam perancangan untuk menghasilkan filem pendek.
Buang berkata, setakat ini mereka sudah mempunyai idea serta jalan cerita untuk filem pendek terbabit, namun hanya menunggu masa untuk menjalani penggambaran.
“Jika diikutkan perancangan, filem pendek terbabit dibuat dalam dua episod dengan setiap satunya memakan masa 10 minit dan menampilkan setiap ahli kumpulan sebagai pelakon.
“Dalam filem pendek itu, kami masih kekalkan identiti masing-masing dengan menggunakan prop untuk menutup wajah dan cuba kurangkan penggambaran di tempat awam,” katanya.
Menurutnya, setakat ini mereka sudah berbincang untuk bekerjasama dengan rakan-rakan yang mempunyai pengalaman dalam bidang filem pendek ini dan ia masih dalam proses untuk menjalani penggambaran.
“Ia lebih kepada cerita mengenai perjalanan hidup anggota Kelembai Band dan ia hanya sebuah kisah yang ringkas dan ringan untuk tontonan orang ramai,” katanya.
Harian Metro