Bekas MB Johor Stabil Selepas Pembedahan Buang Darah Beku

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang selesai menjalani pembedahan di sebuah hospital di Kuala Lumpur tengah hari tadi dilaporkan dalam keadaan stabil.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor, Md Nasir Hashim berkata, keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu memaklumkan pembedahan itu dijalankan bagi mengeluarkan darah beku berikutan serangan angin ahmar yang menyerang Osman kelmarin.

“Alhamdulillah, pembedahan ke atas Datuk Osman Sapian dimaklumkan keluarganya, sudah selesai dengan jayanya.

“Pakar yang merawat Datuk Osman memaklumkan beliau berada dalam keadaan amat stabil.

“Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia masih belum dibenarkan melawat Datuk Osman berikutan beliau perlu berehat untuk pemulihan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.

Rabu lalu, media melaporkan Osman yang juga Ahli Jawatankuasa PPBM Johor itu diserang strok hingga tidak sedarkan diri ketika berada di rumahnya.

Osman dikejarkan ke sebuah hospital swasta di bandar raya ini untuk menerima rawatan.

Anaknya, Nornekman Osman meminta orang ramai mendoakan kesihatan bapanya kembali pulih.

Osman, 70, adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada PPBM dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), memegang jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa BERSATU Johor dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat