Pemimpin PH nafi Musa Aman akan ketuai PH Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah sebulat suara menafikan laporan portal berita yang melaporkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akan mengetuai PH di negeri ini.

Menerusi kenyataan bersama pimpinan PH Sabah melahirkan rasa terkejut dengan laporan sebegitu hingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“PH Sabah amat terkejut dengan laporan bertajuk ‘Musa Aman akan ketuai PH Sabah’ seperti dilaporkan Malaysiakini yang telah tular dalam laman media sosial dan ia menimbulkan kekeliruan dan kerisauan rakyat.

“PH Sabah secara sebulat suara menafikan perkara ini dan perkara ini tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan parti-parti komponen PH iaitu Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Sangkar Rasam; Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Datuk Frankie Poon; dan Pengerusi Parti Amanah Nasional (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu.

Menurut kenyataan itu, PH Sabah mengambil pendirian bahawa mana-mana keputusan mustahak yang berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat seharusnya dipertimbangkan, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan PH.

Justeru itu, PH Sabah akan mengadakan pertemuan dan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini termasuk hala tuju PH Sabah menjelang pilihan raya negeri yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.

Laporan portal berita itu menyatakan bahawa spekulasi sedang bertiup kencang menyatakan bekas Ketua Menteri itu akan kembali aktif dalam politik negeri Sabah.

Malah dikatakan, sumber turut mendakwa Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mencari jalan untuk meletakkan ahli politik veteran itu sebagai peneraju gabungan berkenaan di Sabah. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat