KUALA LUMPUR – Ketika sesi debat di Dewan Rakyat Perikatan Nasional (PN) didakwa tidak menyumbang idea baharu sebaliknya pimpinan pembangkang hanya mengritik polisi dan tindakan Kerajaan Perpaduan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membidas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyalahkan ‘kerengga’ yang dikatakan banyak menganggu PN sewaktu mentadbir Putrajaya sepanjang 33 bulan pari itu menjadi Kerajaan Persekutuan.
“Zaman 33 bulan dia (PN) memerintah, semua tak jalan. Ada saja alasan.
“Harga barang naik dikatakan bukan masalah besar. Manakala isu RUU355, hilang terus.
“Debat di Parlimen pula, semua Kerajaan Perpaduan buat tak kena tapi diri sendiri tak bagi idea baru
“Alih-alih bila dah tak jadi kerajaan, salahkan kerengga pulak,” bidas Timbalan Presiden PKR itu di Facebooknya pada Jumaat.
Baru-baru ini Hadi berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ‘tidak sempat membaca’ perjanjian royalti minyak melibatkan negeri Terengganu kerana “ada banyak benda nak urus”.
Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa, ketika mereka memerintah, ada banyak ‘kerengga’ mengganggu mereka sehingga menyaksikan berlakunya pertukaran perdana menteri beberapa kali.