SOP Di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana Alam Dilonggarkan – NADMA

- Advertisement -

PUCHONG – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa bencana alam akan beroperasi pada skala penuh mengikut kapasiti sedia ada selaras dengan fasa peralihan pandemik Covid-19 ke fasa endemik.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berkata prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka di PPS juga dilonggarkan sejajar dengan ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM) namun digalakkan.

Menurutnya, ini adalah antara ketetapan yang diputuskan NADMA bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini hingga Mac depan.

“Aktiviti memasak secara gotong-royong juga dibenarkan di PPS bagi membolehkan mangsa banjir mendapat makanan yang baik dan segar serta cepat.

“Untuk pemakaian pelitup muka, kita galakkan mereka yang berada di PPS untuk pakai bagi mencegah penularan Covid-19 tetapi tiada paksaan,” katanya dalam Program Agensi-Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bersama Media di Markas SMART, Pulau Meranti dekat sini, semalam.

Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, kapasiti PPS dihadkan mengikut keluasan supaya tidak terlalu padat pada satu masa mengikut SOP KKM.

Selain itu, sebarang aktiviti memasak secara gotong-royong dilarang di PPS ketika bencana banjir dengan makanan ketika itu hanya dibekalkan secara bungkus.

Musim MTL signifikan dengan kejadian hujan lebat dan banjir besar terutama di negeri-negeri pantai timur.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Pasca Bencana) NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan sebanyak 6,010 PPS sedia diaktifkan dan boleh menampung 1.6 juta mangsa sebagai persediaan menghadapi MTL kali ini.

Bagaimanapun, katanya daripada keseluruhan PPS, hanya 1,363 PPS yang sering diaktifkan.

“Sebanyaj 63 PPS adalah PPS berkapasiti besar yang boleh menampung 2,000 mangsa, 1,047 PPS kapasiti sederhana (500-1,999 mangsa) dan 4,899 kapasiti kecil (kurang 500 orang).

“Kita turut bersiap sedia dengan kekuatan sumber manusia seramai 79,549 orang, aset darat (4,409), aset air (22,622), aset udara (20), ambulans (705) dan lain-lain aset seperti generator dan pam bergerak (1,180),” katanya.

Bagi keperluan makanan di PPS, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wan Noraidah Wan Mohd Zain berkata pek makanan sedia untuk dimakan menggunakan teknologi retort akan dibekalkan untuk mangsa banjir di PPS.

“Perkara ini baru dipersetujui semasa mesyuarat bersama Perdana Menteri pada Isnin lalu kerana makanan retort ini boleh disimpan untuk jangka masa lama lebih setahun dan sesuai dibekalkan awal ke PPS di lokasi yang ada kemungkinan terputus hubungan akibat banjir.

“Makanan ini mudah disimpan di depoh dan mangsa banjir akan dapat makanan segera dalam tempoh 24 jam kerana ia hanya perlu rendam dalam air panas dan boleh terus dimakan,” katanya.

Beliau berkata JKM akan menjadikan PPS sebagai pangkalan hadapan iaitu lokasi penyimpanan makanan sebagai persediaan menghadapi MTL. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat