Amalan Anti-Islam PH Buat PAS Serik Jalin Kerjasama, Kata Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dalam Pakatan Harapan (PH) terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, Rukun Negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Bahkan, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan Bumiputera tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sejak awal lagi, PAS menolak untuk bersama PH apabila dijemput menyertainya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerana PAS mempunyai pengalaman yang paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersamanya.

“Secara tegasnya, PAS menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah akibatnya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan ia boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting.

“Khususnya, hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh, dan menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara yang lebih banyak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN),” kata Hadi dalam catatan Minda Presiden pada Jumaat.

Menurut beliau, keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat, walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya memegang Kerajaan Pusat sejak merdeka sehingga ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 kerana salah laku dan rasuah.

“Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga). Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,” ujarnya.

Sedangkan Islam yang menjadi aqidah perjuangan PAS menetapkan bahawa politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat, kata Hadi.

Maka ujarnya, wawasan PAS tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia.

“PAS tetap mempertahankan hak Melayu, Bumiputera dan Islam, termasuklah bahasanya menjadi teras kepimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain.

“Walaupun begitu, Islam mengajar bangsa Melayu ini agar tidak bersikap fanatik perkauman yang dapat disaksikan dalam masyarakat Malaysia.

“PAS menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia. PAS menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi,” jelasnya.

Tambah Hadi lagi, bersama dalam PH, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menegaskan ideologi sekularnya secara terbuka, sehinggakan mereka menolak prinsip agama dalam politik.

“Selain itu, ada dalam kalangan mereka yang bersikap pragmatik mahu berkuasa semata-mata tanpa ideologi yang ingin diperjuangkan, menyebabkan mereka menjadi hanyut dan mudah melompat.

“PAS mengikat pemimpin dan mentarbiah ahli dengan baiah yang lebih kukuh daripada undang-undang lompat parti. Baiah tidak boleh dirungkai dengan mudah disebabkan perkara cabang dan pendekatan yang berbeza, selagi tidak melanggar perkara dasar yang menjadi aqidah perjuangan.

“Hanya yang gagal ujian selepas baiah terlompat atau melompat dan masuk dalam bakul PH,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, ada
juga yang lantang menentang usaha PAS dalam melaksanakan Islam secara demokrasi, sehingga mereka terus mempertahankan undang-undang warisan penjajah dan sistem kehakimannya yang rapuh.

“Maka, perlu dibatalkan perkara tersebut kerana menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam yang adil kepada semua dan wajib ke atas umat Islam untuk menegakkannya.

“Kemenangan PH melalui manifesto yang ditawarkan pelbagai janji yang tidak ditunaikan seperti janji menghapuskan tol, menangguh bayaran balik PTPTN dan lain-lain, adalah suatu penipuan dan pembohongan yang menghilangkan sifat ‘adalah (adil) yang menjadi syarat penting dalam ajaran Islam, sekali gus menghilangkan kelayakan berpolitik dan berdosa sebagaimana perbuatan rasuah juga,” kata Hadi.

Beliau juga memberitahu, pengalaman PAS bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu pengalaman yang cukup matang kepada PAS untuk mengenalinya secara lebih dekat dan terang lagi bersuluh.

Betapa mereka cuba menghalang perjuangan Islam yang menjadi pegangan PAS yang wajib beristiqamah,” dakwanya.

“PAS juga pernah bertahaluf dengan pihak lain sama ada berhaluan kanan mahupun kiri, sejak sebelum merdeka sehingga selepasnya. PAS tidak pernah sekali-kali melanggar perjanjian yang dimeteraikan dan tidak boleh diheret keluar daripada landasannya.

“Namun, PAS tetap utuh melangsungkan bahtera perjuangannya, dan beberapa parti yang menjadi parti serpihannya hilang dalam lipatan sejarah. PAS tidak pernah rugi dari sudut ahli, pengikut dan pemimpinnya, walaupun beberapa kali kehilangan kerusi dan negeri yang pernah dimenangi,” akui beliau.

Hadi juga berkata, PH yang berdegar-degar menentang rasuah dan salah laku, namun sewaktu mereka memerintah dan berkuasa terlalu lemah dalam menanganinya kerana sikap pragmatik dan sekularnya menjadikan mereka lebih berkocak sesama sendiri.

Hal ini disebabkan mereka lebih sibuk berebut jawatan Perdana Menteri dan lain-lain, bidasnya.

“Bahkan, mereka mengambil tindakan secara terpilih, sehingga ada dalam kalangan mereka yang ditamatkan proses mahkamah di pertengahan jalan. Malah, ada juga tidak meneruskan pendakwaan yang sangat meragukan, begitu juga ada yang dipilih untuk diteruskan sehingga memakan masa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menerima bebanan selepasnya. Ada pula seolah-olah media juga menjadi hakim dan seterusnya.

“Pengampunan terhadap pemimpin pilihan idaman kalbunya yang telah disabitkan di mahkamah, adakah mengikut proses yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan dengan sempurna? Hal itu sangat meragukan, walaupun dari segi moralnya, bahawa berusaha mendapatkan pengampunan itu bermakna mengaku salah secara nyata.

“Dalam konsep kehakiman, Islam menetapkan sifat dan keadaan yang benar-benar menyeluruh, agar proses keadilan terhadap semua pihak berlaku dalam keadaan tidak diganggu oleh perasaan yang negatif pada diri semua pihak yang terlibat dalam proses kehakiman, daripada hakim sehinggalah saksi yang tidak fasiq, termasuk yang fasiq itu penyumbang rasuah, sehingga Islam mengambil kira iman, akhlak, sehinggalah perasaan mereka yang terlibat dalam mengendalikan mahkamah itu, tidak dalam keadaan lapar, dahaga ketika marah, lebih-lebih lagi dendam dan sebagainya,” katanya.

Selain itu ujar Hadi, PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah pada jenamanya.

“PAS sentiasa memerhatikan sejak awal segala pendekatan PH yang tidak beradab terhadap jentera kerajaan dan rakyat sangat tidak sopan, melebihi kelemahan yang berlaku kepada BN yang menjadi sebab kejatuhannya.

“PAS tidak bersedia untuk memasuki khemah besar PH kerana tidak boleh memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengubati penyakit salah laku dan rasuah yang membarah dalam BN sehingga menumbangkannya. Hal ini demikian kerana, tokoh-tokoh yang sama di dalamnya menjadi punca rasuah tersebut serta mencipta tokoh-tokoh muda yang diajar dengan amalan rasuah.

“Bagaimana pengundi muda boleh mengangkat individu sepertinya menjadi penentang rasuah dan salah laku. Penyelesaiannya laksana perhitungan dua campur dua dan dua kali dua, jawapannya sama iaitu empat (2 + 2 = 4 / 2 x 2=4).

“Maka, PAS menolak PH kerana kerajaannya laksana pokok yang tidak berakar tunjang dengan teguh. Faktor itu menjadi sebab kuasanya boleh dicabut dengan mudah atau tumbang menghempap siapa sahaja,” tegas beliau.

Hadi memaklumkan, PAS beristiqamah menentang segala dosa besar dan dosa kecil, termasuklah rasuah dan segala jenis salah laku yang berlaku di semua peringkat.

“PAS menanganinya dengan pendekatan Islam yang sempurna dan holistik, daripada pendidikan yang sempurna dari sudut roh dan jasad, individu dan masyarakat. Termasuklah melalui media yang berakhlak, bukan sahaja sistem kehakiman yang benar-benar sempurna dan hukuman yang adil, tegas dan mendidik berkonsepkan Hakimiyah Allah (tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang Allah). Rasulullah SAW sendiri mendedahkan dirinya agar dihukum sekiranya bersalah.

“PAS dengan kemampuan mentadbir kerajaan negeri dan beberapa kementerian yang diamanahkan dengan bidang kuasa yang terhad tetap berusaha membuktikan Islam sahaja berjaya mencipta integriti yang sebenarnya, tidak palsu dan berpura-pura.

“Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) tanpa dendam menjadi pegangan PAS, walaupun PAS merupakan parti yang paling ramai pemimpin dan ahlinya menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak zaman penjajah sehinggalah merdeka. Bahkan, ada yang mati terkorban bukan sahaja ditahan dan dibuang daerah.

“Malah, ada yang dibuang kerja, bukan sahaja diturunkan pangkat dan ditukar ke tempat yang jauh. Sehinggalah, dirompak hak royalti petroleum Terengganu yang bersejarah dan dinafikan hak royalti petroleum Kelantan, hak rakyat biasa serta pelajar yang menyokong PAS. Apa yang tidak dilakukan kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dan Sabah ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah negeri itu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat