KPISM kutuk sekeras-kerasnya tindakan kasari Pegawai Imigresen di KLIA 1

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan fizikal dan mengeluarkan kata-kata kesat oleh penumpang warga asing terhadap seorang pegawai wanita Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang sedang menjalankan tugas di Kaunter Pemeriksaan Imigresen, Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 , sekitar jam 7.40 pagi pada Rabu.

Presidennya, Ajeet Singh A/L Gurbax Singh dalam satu kenyataan berkata, dalam insiden tersebut, penumpang itu telah bertindak memaki hamun, menarik tudung, serta menolak kepala pegawai tersebut hingga menyebabkan kecederaan ringan.

Ajeet Singh berkata, tindakan pantas pasukan keselamatan lapangan terbang telah mengawal keadaan dan kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta tindakan undang-undang selanjutnya.

Beliau menegaskan, tindakan provokasi atau mencederakan penjawat awam boleh dikenakan tindakan undang-undang, tanpa mengira sama ada pelaku warganegara Malaysia atau warganegara asing.

Tegasnya lagi, tindakan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia boleh disifatkan sebagai mencabar kedaulatan undang-undang negara, dan setiap pelancong wajib menghormati undang-undang negara yang mereka lawati.

Katanya, KPISM memandang serius kejadian yang berlaku ke atas pegawai imigresen yang juga merupakan ahli kesatuan dan menyeru pihak pengurusan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pegawai bertugas serta pelancong lain.

“KPISM berharap pihak kementerian dapat meneliti semula cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kaunter bagi memastikan pemantauan perjalanan pemeriksaan imigresen lebih komprehensif dan efisien.

“Sehubungan itu, KPISM menuntut agar siasatan dipercepatkan dan pendakwaan dilakukan tanpa kompromi terhadap pelaku, ”katanya lagi.

Ujarnya, KPISM akan terus memberikan sokongan penuh kepada pegawai terlibat termasuk bantuan kebajikan dan guaman sehingga proses keadilan selesai.

“Pegawai imigresen adalah benteng hadapan kedaulatan negara dan tindakan mengasari mereka ketika bertugas bukan sahaja perbuatan biadab, malah mencemarkan imej negara dan mengancam keselamatan di pintu masuk antarabangsa.”ujarnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat