KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mengucapkan ‘tahniah’ kepada Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui yang dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
“Pendakwaan tidak mahu teruskan pertuduhan. Pengarah (KK Mart) dilepas dan dibebaskan.
“Tahniah dan beribu tahniah.
“Rakyat mampu menilai,” tempelak Akmal.
Hari ini, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan, Xin Jian Chang Sdn Bhd turut mendapat perintah DNA selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas lima individu berkenaan.
Untuk rekod, dua syarikat dan lima individu ini mengemukakan representasi pada 17 Mei lalu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes berkenaan.
Akmal antara pemimpin politik paling lantang berkenaan isu stoking kalimah Allah ini malah menggerakkan kempen boikot KK Mart sehingga pernah ditahan polis.
“Apa pun kesusahan dan cabaran dihadapkan kepada saya, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus berjuang dan berkata tentang kebenaran demi agama dan ummah.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar demi mempertahankan agama dan bangsa, saya rela dengan sepenuh hati. Kekal boikot. No fear, no surrender!” kata EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu.