Memang Ada Curi Balak, Tapi Jangan Salahkan Kerajaan Kelantan

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Kelantan tidak menafikan berlakunya kes kecurian balak di negeri itu namun, menegaskan tindakan sewajarnya sedang diambil oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah juga menjelaskan kerajaan negeri tidak boleh dipersalahkan begitu saja apabila berlaku kejadian kecurian balak.

“Kita di Kelantan memang ada berlaku kecurian balak, memang ada laporan, dan kerajaan sedang mengambil tindakan,” katanya memetik Malaysiakini.

Tambah Naib Presiden PAS itu lagi apabila ada kejadian sebegitu dikesan, pihak berkuasa mengambil tindakan menyita balak berkaitan untuk disiasat.

“Apabila saya semak, Jabatan Perhutanan Kelantan menyatakan ia disita untuk nak pastikan siapa yang terlibat.

“Memang ada laporan daripada jabatan perhutanan,” katanya.

ADUN Panchor itu berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan kes kecurian balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri yang didedahkan Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa, baru-baru ini.

Terdahulu Husam yang juga bekas exco kanan Kelantan mendedahkan kompartmen 26 di HSK Nenggiri diwartakan sebagai hutan dara perlindungan, namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn Bhd.

Selain itu dakwa Husam wujud kes ‘kecurian’ balak di kawasan bersebelahan, iaitu kompartmen 25, dengan melibatkan kerugian dianggarkan sehingga RM5 juta.

Katanya, balak yang terletak di sebelah matau Daulah Najah itu kini disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut Mohd Amar berkata dua syarikat yang disebut Husam itu sememangnya diberi lesen untuk melaksanakan kerja-kerja pembalakan di kawasan berkenaan.

Dia berkata kerajaan negeri tidak menafikan kemungkinan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mencuri balak di luar kawasan yang ditetapkan.

Tambahan pula tambahnya kejadian tersebut berlaku jauh di dalam hutan dan melibatkan sebuah syarikat.

“Sebagai contoh kita katakan ada anak mencuri, takkan nak kata bapa yang salah? Anak terlibat hisap dadah, adakah ayah yang salah? Anak dia (Husam) terlibat dadah dulu kita tak kata dia salah,” ujarnya.

Menurut Mohd Amar lagi aktiviti pembalakan di Kelantan berlaku sejak sekian lama malah ia menjadi hasil utama kepada negeri itu ketika BN menjadi pentadbir di situ.

“Masa BN perintah pun tebang balak juga, masa tok guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun tebang balak, masa Husam dalam kerajaan pun tebang balak juga, jadi nak berbangkit apa sebab pembalakan ini sebahagian hasil negeri?

“Tapi sekarang (balak) bukan lagi hasil utama selepas kita pelbagaikan sumber hasil.

“Pembalakan ini pula terikat dengan peraturan-peraturan antaranya tidak boleh melebihan catuan tebangan tahunan (CTT), yang diputuskan kerajaan persekutuan,” tegas Mohd Amar.

Dia juga mengingatkan bahawa kejadian kecurian balak bukan terhad di Kelantan saja, malah turut terjadi di negeri lain.