Fasa Pertama PKP Penuh Berhasil, Trend Jangkitan Covid-19 Melandai – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh fasa pertama yang dilaksanakan kerajaan telah membuahkan hasil apabila graf jangkitan kes COVID-19 menunjukkan trend melandai dengan mencatatkan sebanyak 4,949 kes semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata susulan langkah berkenaan, sistem kesihatan negara masih lagi mampu menampung kes baharu COVID-19 di samping telah mencatatkan kadar sembuh yang tinggi dalam kalangan pesakit.

“Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil. Kita telah mengelakkan bencana,” katanya dalam perutusan khas mengenai Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan dan secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan juga bersedia untuk menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua PKP setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes.

Selain itu, peralihan juga turut mengambil kira tahap sistem kesihatan awam yang tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pulih ke paras sederhana.

“…tetapi sekarang ini kita berada tahap yang masih kritikal, tidak mempunyai tempat untuk menempatkan kes-kes yang serius kerana kekurangan katil (dan) ini sedang kita uruskan,” katanya.

Perdana menteri berkata peralihan itu juga turut mengambil kira sekurang-kurangnya 10 peratus populasi masyarakat di negara ini telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 13.8 juta orang telah berdaftar untuk menerima suntikan vaksin.

“Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok,” kata perdana menteri.

Muhyiddin meminta masyarakat terus bersabar memandangkan segala aktiviti seperti sukan, majlis sosial dan balik ke kampung masih lagi tidak dibenarkan bagi membolehkan usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 berhasil.

“Saya sering menerima permintaan supaya acara-acara sukan seperti perlawanan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium dibenarkan, majlis-majlis sosial diadakan dan yang paling banyak saya terima ialah rayuan untuk balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, sanak saudara dan ahli keluarga tersayang.

“Sabar dahulu. Pada masa ini perkara-perkara ini masih tak dapat kita lakukan. Kita mesti utamakan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dahulu,” katanya.

Muhyiddin pada masa sama turut mengingatkan masyarakat agar terus berdisiplin dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) serta tidak mengalah dalam perjuangan memerangi COVID-19.

“Kita perlu terus berjuang, bersatu hati dan tenaga dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini bersama-sama sebagai sebuah bangsa Malaysia yang cekal dan berhati kental.

“Saya berjanji kerajaan akan terus membantu sedaya mampu, tanpa pernah putus berusaha dan berikhtiar, supaya kita dapat bersama-sama keluar dari kemelut pandemik ini secepat mungkin,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,542FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat