KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera menulis kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, bagi merekodkan secara rasmi bantahan tegas Malaysia terhadap permohonan pengampunan Jho Low atas jenayah beliau berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM52 bilion.
Penasihat DAP Lim Guan Eng menegaskan, campur tangan peribadi Anwar akan menghantar mesej yang kuat dan membuktikan komitmen berterusan beliau untuk memastikan semua pelaku skandal 1MDB membayar atas jenayah mereka serta membuat bayaran balik sepenuhnya terhadap dana yang dicuri, yang merupakan salah satu skandal kewangan terbesar di dunia.
“Sejak skandal 1MDB tercetus, Anwar bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah menuntut tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dan akauntabiliti penuh terhadap dana yang dicuri.
“Kini apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau tidak boleh mengabaikan janji tersebut untuk bertindak.
“Tidak boleh ada sebarang kekurangan dari segi kesungguhan atau komitmen untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB tidak terlepas dengan hasil rompakan mereka atau hukuman yang sewajarnya melalui pengampunan,” tegas Guan Eng.
Menurut bekas Menteri Kewangan itu lagi, Jho Low telah didakwa pada tahun 2018 tetapi berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap.
“Dia dituduh sebagai dalang kepada skim yang menyeleweng sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion daripada 1MDB bersama dua pegawai bank nakal daripada Goldman Sachs.
“Jho Low juga didakwa telah membayar kira-kira AS$2 bilion dalam bentuk rasuah kepada pegawai asing termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, yang telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan. Pegawai United States Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa bahawa AS$1 bilion dalam bentuk sogokan telah dibayar kepada peserta skim tersebut, dengan Jho Low sendiri memperoleh sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion.
“Sehingga kini, Jho Low masih gagal dikesan. Adalah sama sekali tidak boleh diterima untuk beliau diberikan pengampunan selepas berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Anwar mesti memaklumkan kepada Trump mengenai kesan serius terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia dan usaha antarabangsa memerangi amalan rasuah sekiranya pengampunan diberikan kepada Jho Low,” kata Guan Eng mengingatkan Anwar.



