Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), melalui Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), dengan kerjasama Tourism Productivity Nexus (TPN), Malaysia Productivity Corporation (MPC), dan United Nations Development Programme (UNDP) serta Malaysian Tour Guides Council (MTGC), telah menganjurkan Digital Travel Storytelling Competition 2026 (DTStC 2026) sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pelaksanaan Visit Malaysia Year 2026 (VMY 2026).
Kemuncak acara Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah DTStC 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Chua Choon Hwa di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Jalan Ampang, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam; Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid; Champion TPN, Rohizam Md Yusoff; dan Head of Operation UNDP, Ms Mahalatchmy Paidathally.
PSIS dalam kenyataan berkata DTStC 2026 sekali gus memperkukuh inisiatif mempromosikan pelancongan negara melalui pendekatan penceritaan digital yang kreatif dan berimpak tinggi.
“Pertandingan ini berjaya menghimpunkan lebih daripada 2,000 penyertaan daripada pelajar pelbagai peringkat termasuk institusi pengajian tinggi (IPT), Politeknik & Kolej Komuniti (POLYCC) serta sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dalam bidang penceritaan pelancongan digital bertemakan Sustainable Tourism.
“DTStC 2026 turut memupuk kreativiti dan inovasi dalam penghasilan kandungan pelancongan digital, sekali gus menghasilkan karya-karya kreatif dan berimpak tinggi serta mewujudkan cap jari digital yang signifikan sebagai medium promosi pelancongan Malaysia.
“Penganjurannya dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan penjurian awal secara dalam talian untuk menilai kreativiti, keunikan idea, dan keberkesanan penyampaian kandungan para peserta, di samping peserta dikehendaki memuat naik video dan gambar di platform Tiktok sebagai medium promosi pelancongan Malaysia secara meluas,”katanya.
Ujarnya, daripada penilaian, seramai 120 finalis terbaik dipilih untuk mara ke peringkat akhir, dengan sesi pembentangan secara fizikal diadakan pada 4 April lalu di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur, di hadapan panel juri untuk berkongsi kisah di sebalik penghasilan karya masing-masing.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan kepelbagaian budaya dan keindahan Malaysia, tetapi juga membentuk generasi muda yang lebih inovatif dalam pemasaran pelancongan digital.
“Selari dengan konsep pelancongan lestari, program ini menggalakkan pendekatan yang lebih bertanggungjawab dalam mempromosikan destinasi, dengan menitikberatkan pemeliharaan alam sekitar, pemuliharaan warisan budaya serta kesejahteraan komuniti setempat, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, PSIS komited dalam memupuk bakat pelajar dalam bidang digital dan kreatif, sekaligus melengkapkan mereka dengan kemahiran penceritaan, komunikasi, dan media digital yang relevan dengan industri moden.
Pertandingan ini bukan sekadar cabaran, tetapi juga pengalaman pembelajaran yang bermakna dalam penghasilan kandungan digital yang mampu mempromosikan Malaysia secara inovatif.
Lapan kategori utama yang dipertandingkan ialah Foto Sekolah Rendah, Foto Sekolah Menengah, Foto IPT, Foto Politeknik & Kolej Komuniti, serta Video Sekolah Rendah, Video Sekolah Menengah, Video IPT dan POLYCC.
Dalam pada itu, seramai 24 pemenang telah menerima hadiah mengikut kategori masing-masing.
Pemenang tempat ketiga menerima wang tunai daripada penaja Digital Travel Technology Association of Malaysia (DITTAM), Tumpuan Vacation Sdn Bhd dan Cat Travel Sdn Bhd, bersama plak pemenang, sijil pencapaian serta hadiah beg galas tajaan Hafiz Travel Sdn Bhd.
SK St Catherine (M) Kota Kinabalu, Sabah yang memaparkan dunia penceritaan digital bertajuk Tagal Kampung Kilimu-The River That Waits pula meraih tempat kedua menerima wang tunai daripada penaja yang sama, selain plak pemenang, sijil pencapaian serta hadiah bagasi tajaan Hafiz Travel Sdn Bhd.
Manakala tempat pertama, SMK Ayer Keroh, Melaka yang menghasilkan Footprints That Matter Natura Nova menerima wang tunai sumbangan DITTAM, Tumpuan Vacation Sdn Bhd dan Cat Travel Sdn Bhd, berserta plak pemenang, sijil pencapaian serta baucar penginapan selama dua hari satu malam di The Pearl Kuala Lumpur Hotel.-SUARA.TV



