KUALA LUMPUR – Ketua isi rumah (KIR) miskin tegar Sabah menurun ketara sebanyak 89.9 peratus setakat 28 Februari lalu berdasarkan pangkalan data e-Kasih, DUN Sabah diberitahu.
Pembantu menteri kepada Ketua Menteri Abidin Madingkir berkata, dalam tempoh itu KIR dikategorikan miskin tegar berkurang kepada 1,464 berbanding 14,553, direkodkan pada 29 Feb 2024.
Beliau berkata, pembasmian miskin tegar di Sabah akan terus dipantau berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) makanan iaitu pendapatan di bawah RM1,218, dengan mengambil kira purata saiz isi rumah 4.3 dan per kapita RM288 bagi satu ahli isi rumah.
“Data KIR ini bersifat dinamik, dengan perubahan status dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk perubahan bilangan ahli isi rumah, pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat seperti kematian atau perpindahan ke negeri lain.
“Kerajaan Sabah telah memulakan pemberian bantuan program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) pada 17 Feb 2025, dan langkah ini dijangka akan terus menyumbang kepada penurunan jumlah miskin dan miskin tegar dalam sistem eKasih,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Jannie Lasimbang (PH-Kapayan) yang bertanya jumlah penerima fasa satu Syukur 2025 dan apakah inisiatif lain untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai e-Kasih agar mereka juga mendapat bantuan sama.
Abidin berkata, fasa satu Syukur 2025 melibatkan 72,060 KIR miskin dan miskin tegar tersenarai dalam sistem eKasih setakat Dis 2024, dan setakat 1 April lepas 95peratus telah menerima bantuan, manakala selebihnya dalam proses kemas kini data.
“Bagi mereka yang tercicir atau tidak tersenarai dalam sistem eKasih, kerajaan negeri membangunkan Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (Padans) supaya mereka yang tercicir dan layak boleh memohon secara atas talian melalui sistem ini.
“Selain itu, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) juga bekerjasama dengan pemimpin akar umbi seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan pejabat daerah dalam mengenal pasti KIR di daerah masing-masing yang tercicir dan layak,” katanya.
Beliau berkata, setakat 31 Mac, sebanyak 270,272 permohonan diterima daripada pendaftaran melalui sistem Padans, senarai UPPM dan Pejabat Daerah, serta sesi libat urus bersama Adun bukan kerajaan bagi proses verifikasi selanjutnya.
Abidin berkata, kerajaan negeri terus berusaha melaksanakan intervensi bantuan miskin dan miskin tegar yang bersesuaian berlandaskan kepada lima teras utama iaitu bantuan perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan atau kewangan, keusahawanan, dan latihan.