Gajah Bentuk Bulatan Lindungi Anak Ketika Gempa Gegar San Diego

- Advertisement -

SAN DIEGO – Ketika bumi bergegar akibat gempa bumi bermagnitud 5.2, sekumpulan gajah Afrika di San Diego Zoo Safari Park bertindak pantas melindungi anak-anak mereka.

Dalam rakaman video yang dirakam pada pagi Isnin itu, lima ekor gajah dilihat berdiri tenang di bawah sinar matahari sebelum gegaran berlaku dan mereka mula bertempiaran lari. Namun, dalam sekelip mata, tiga ekor gajah dewasa — Ndlula, Umngani dan Khosi — segera membentuk bulatan perlindungan, mengelilingi dua anak gajah berusia tujuh tahun, Zuli dan Mkhaya.

Mereka kekal dalam formasi itu selama beberapa minit, dengan gajah dewasa berdiri menghadap ke luar dalam keadaan berjaga-jaga, telinga terbentang dan berkibar, walaupun gegaran telah berhenti.

Gempa itu dirasai sejauh Los Angeles, 193 kilometer dari pusat gempa, dan mengakibatkan batu-batu besar jatuh ke jalan-jalan pedalaman di daerah San Diego serta menyebabkan barangan di kedai runtuh di pekan pergunungan Julian. Namun tiada kecederaan atau kerosakan serius dilaporkan.

Menurut Kurator Mamalia di taman tersebut, Mindy Albright, tindakan refleks itu menunjukkan naluri perlindungan semula jadi dalam kalangan spesies sosial seperti gajah.

“Apabila mereka mengesan ancaman, mereka membentuk ‘bulatan berjaga’, dengan anak-anak di tengah dan dewasa bersedia melindungi dari luar,” katanya.

Imej yang diambil daripada video yang dikeluarkan oleh San Diego Zoo Wildlife Alliance menunjukkan sekawan gajah membentuk bulatan untuk melindungi dua anak gajah Zuli dan Mkhaya semasa gempa bumi pada Isnin 14 April 2025 di San Diego Zoo Safari Park di Escondido California

Rakaman itu turut menunjukkan salah seekor anak gajah, seekor jantan, cuba berdiri di pinggir bulatan untuk menunjukkan keberaniannya, sebelum digesa kembali oleh Khosi, gajah remaja yang membantu membesarkannya bersama ibu kandungnya, Ndlula. Khosi dilihat mengetuk-ngetuk belakang dan wajah anak gajah itu dengan belalainya — seolah-olah memberi isyarat, “Semua selamat” dan “Kembali ke dalam bulatan.”

Zuli masih dianggap bayi, kata Albright, namun peranannya akan berubah apabila dia meningkat dewasa dan menyertai kumpulan gajah jantan. Sebaliknya, gajah betina akan kekal dalam unit keluarga sepanjang hayat mereka.

“Luar biasa melihat mereka bertindak seperti mana manusia biasa bertindak — melindungi anak-anak mereka,” tambah Albright.

Kira-kira sejam kemudian apabila gegaran susulan berlaku, kumpulan itu sekali lagi membentuk bulatan perlindungan sebelum beredar setelah merasakan keadaan selamat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat