Imigresen Kedah perketat kawalan sempadan, kesan suspek kes tembakan di KLIA

- Advertisement -

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Imigresen (Imigresen) Kedah mempertingkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand susulan kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata pihaknya memberi tumpuan di 10 laluan pintu masuk ke negara ini iaitu di Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra di Durian Burung serta enam laluan laut di Langkawi.

Katanya, ini adalah sebahagian usaha bagi mengesan orang dikehendaki iaitu Hafizul Hawari, 38, yang berkemungkinan melalui pintu sempadan negara di utara.

“Kita sudah memaklumkan kepada pegawai Imigresen di lapangan termasuk di Bukit Kayu Hitam bagi mengesan suspek berpandukan imej dan identiti suspek yang disahkan pihak polis.

“Jika suspek dikesan melalui kaunter Imigresen di sini, kami boleh menahan suspek dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, kita sudah pun memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand berhubung kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, pada Isnin lapor BH.

Mohd Ridzzuan berkata, pihaknya turut memperketatkan pemeriksaan keluar masuk terutama kepada individu yang menggunakan pasport antarabangsa.

“Kita sudah mempunyai nombor pasport suspek dan hasil semakan mendapati, pergerakan suspek kali terakhir pada Februari lalu melalui Bukit Kayu Hitam ke negara jiran untuk menguruskan umrah.

“Jadi kami mengandaikan pasport suspek masih sah dan tempoh sah lakunya mungkin agak panjang,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Ridzzuan juga tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan pasport palsu dalam usahanya lari ke negara jiran.

Bagaimanapun katanya, sistem Imigresen yang melakukan saringan pemeriksaan berdasarkan pasport, biometrik dan visual mampu mengesan pasport palsu sekiranya dokumen itu digunakan.

Dalam kejadian awal pagi semalam, suspek dipercayai mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA Terminal 1.

Suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya, namun terkena pengawal peribadi wanita itu.

Suspek yang mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dipercayai melarikan diri ke utara sejurus selepas kejadian.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat