Polis Tahan 11 Individu Berpesta Liar Di Johor Ketika PKP

- Advertisement -

Polis menahan 11 individu, termasuk tiga wanita selepas dipercayai terbabit dengan pesta liar dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam serbuan di sebuah rumah inap desa (homestay) di Masai, di Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan kesemua individu berusia 15 hingga 23 tahun dan merampas dadah disyaki jenis ketamine kira-kira 2.08 gram dan kira-kira empat biji pil ekstasi.

Katanya, daripada jumlah itu, hasil saringan air kencing mendapati 10 individu, termasuk tiga wanita positif dadah jenis ketamine dan methamphetamine, selain siasatan awal mendapati kesemuanya bukan penghuni di premis terbabit serta gagal memberi alasan munasabah kerana berkumpul.

“Hasil semakan rekod mendapati, dua lelaki dan seorang wanita daripada jumlah itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dadah.

“Kesemua 11 suspek akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek positif dadah pula akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemuanya turut didakwa mengikut Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 April untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Hasil dari serbuan dan tangkapan ini menunjukkan ada lagi sebilangan masyarakat masih degil, mementingkan diri sendiri dan sengaja melanggar PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Sehubungan itu, polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dengan berada di rumah dan dilarang menganjur sebarang pesta atau keramaian, tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi PKP.

Sementara itu, sepasang kekasih warga Singapura berusia 23 dan 25 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Persiaran Danga Perdana, Danga Bay, Johor Bahru.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Johor membuat serbuan dan hasil pemeriksaan fizikal ke atas kedua suspek, pihaknya berjaya merampas dadah disyaki jenis pil ecstasy sebanyak 1,009 biji dan syabu seberat empat gram yang bernilai RM 40,960.

“Selain itu, turut dirampas sebuah kereta jenis BMW, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM 35,050 dan mata wang SGD 20,516 (RM 62,704.81), selain nilai keseluruhan sitaan adalah bernilai RM 197,124.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori, selain kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula hari ini hingga 19 April untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis kontinjen Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat