Pensijilan Hutan & Kayu Penting, Imbangi Pembangunan Ekonomi, Integriti Ekologi – TPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kemajuan dan kesan pensijilan hutan dan kayu telah dipuji, namun masih banyak lagi cabaran yang mesti ditangani di tengah-tengah usaha memperhebatkan dasar dan perundangan bagi kelestarian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata permintaan untuk pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di seluruh dunia semakin meningkat didorong oleh tekanan global bagi menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan pencarian sumber semula jadi yang lebih mesra alam.

Sehubungan itu, pensijilan hutan dan kayu memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan di antara pembangunan ekonomi dan integriti ekologi, katanya.

Beliau menyatakan bahawa Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), satu skim sukarela yang dikendalikan oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) telah diiktiraf dan disahkan oleh skim pensijilan hutan terbesar di dunia, iaitu Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) sejak 2009.

“Pengiktirafan dan pengesahan itu telah mengukuhkan kredibiliti MTCS dalam memenuhi keperluan dan piawaian antarabangsa.

“Dalam konteks pembangunan global, MTCS telah menyumbang kepada pengurusan hutan lestari untuk hutan tropika dan telah meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam perhutanan tropika melalui pensijilan kayu,’’ katanya pada persidangan Pensijilan Kayu: Meneroka Sempadan Masa Depan di sini hari ini.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata hasilnya juga dapat dilihat dalam pertumbuhan progresif yang direkodkan melalui eksport produk kayu yang diperakui MTCS.

“Jumlah eksport awal hanyalah 732 meter padu (m³) pada 2002, dan sejak itu telah meningkat kepada 2.97 juta m³ pada Disember 2022, dengan eksport ke 72 buah negara.

“Secara keseluruhannya, eksport produk kayu yang diperakui MTCS adalah menggalakkan dan saya gembira untuk memberitahu bahawa produk kayu yang diperakui MTCS diterima oleh banyak negara,’’ katanya.

Fadillah menambah setakat 31 Dis, 2022, sejumlah 5.81 juta hektar hutan di Malaysia (bersamaan dengan 31 peratus hutan simpanan kekal) telah diperakui di bawah MTCS, dan 362 syarikat telah diberi sijil Rangkaian Penjagaan PEFC.

“Ia adalah amat menggalakkan kerana skop dalam kategori produk yang diperakui telah berkembang daripada kayu gergaji dan venir yang diproses kepada rangkaian produk yang lebih luas seperti papan lapis, acuan, parket, perabot serta produk hutan bukan tradisional seperti ubat nyamuk, lampin bayi dan bekas telur,” katanya.

Sementara itu, ahli lembaga pemegang amanah MTCC, Prof Dr Ahmad Ismail berkata apabila majlis itu ditubuhkan, ramai pemain industri melihat pensijilan itu dengan rasa ragu-ragu, bimbang dan skeptikal.

“Pengilang, pengeluar dan pengeksport produk kayu bimbang perniagaan mereka tertakluk kepada audit luar, walaupun ramai daripada mereka sudah berada di bawah tekanan daripada pengimport, terutamanya dari Eropah yang inginkan produk kayu yang diperakui,’’ katanya.

Justeru, Ahmad berkata kelulusan PEFC terhadap MTCS membuktikan kebolehpercayaannya dalam memenuhi piawaian dan peraturan global.

“Walaupun adanya pencapaian sedemikian, tetapi tidak banyak maklumat atau data mendalam yang telah diterbitkan mengenai kesan sebenar pensijilan kayu ke atas operasi pengurusan hutan lestari, termasuk penambahbaikan dalam penglibatan pengusaha atau pengurus hutan dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terjejas di Malaysia serta kedudukan, persepsi dan penerimaan produk kayu yang diperakui di pasaran,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa memahami kesan pembolehubah itu terhadap perdagangan, sektor kayu yang diperakui dan pensijilan hutan di pelbagai peringkat adalah penting untuk menilai keberkesanan dan memastikan penambahbaikan yang berterusan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat