Empat Ditahan, SPRM Bongkar Kes Seleweng Sukuk Bernilai RM596 Juta

- Advertisement -

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

Menurut sumber, penyelewengan sukuk itu dilakukan bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Sumber berkata, keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Tiga daripada empat suspek tersebut telah direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac, selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

“Manakala seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM,” kata sumber pada Rabu.

Menurut sumber, suspek-suspek berkenaan merupakan Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga buah syarikat yang terlibat secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

Kata sumber, sukuk tersebut telah diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan berkenaan dengannya.

Namun begitu menurutnya, hasil projek tersebut perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun katanya, akaun khas itu kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022.

Jelasnya, penggunaan akaun khas itu disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk.

Difahamkan katanya, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik telah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun.

Tambahnya, dijangkakan sukuk tersebut akan mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

“Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat