Kerajaan Persekutuan Komited Dengan Pelaksanaan Projek PIP – PM

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub hari ini memberikan komitmen kerajaan persekutuan dalam perlaksanaan Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP).

Komitmen itu dizahirkan Perdana Menteri dalam ucapan beliau di Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) dan “Bonded Road” di Perlis pagi tadi.

Jelas Perdana Menteri, projek yang melibatkan penyediaan tiga infrastruktur luaran yang akan menghubungkan PIP iaitu jajaran keretapi (spur line), jejambat (flyover) dan “bonded road” dengan peruntukan sebanyak RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) itu dijangka mampu mempercepatkan pembangunan rentas wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar, bandar dan sempadan sekaligus memastikan pembangunan lebih seimbang dan keterangkuman lebih baik selaras dengan RMK-12.

Tambah Ismail lagi, Projek PIP ialah salah satu projek strategik nasional dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan pelancarannya amat tepat ketika negara melalui proses pemulihan selepas terkesan akibat pandemik COVID-19. 10. NCER kini berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah adalah antara 6.5 peratus dan 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2022.

Di samping itu, pelaksanaan program-program modal insan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah memberi manfaat kepada 67,935 Keluarga Malaysia dari 30 daerah dalam NCER daripada tahun 2019 sehingga tahun 2021.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan indikator ekonomi yang positif dan memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia dalam Wilayah ini memperolehi manfaat, Kerajaan Perlis dan NCER perlu terus meningkatkan daya saing dalam era pasca COVID-19 bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

Perkhidmatan logistik dan fasilitasi perdagangan yang cekap dan berkualiti tinggi jelasnya, amat penting bagi meningkatkan daya saing negara serta menjana peluang pekerjaan.

Ismail berkata, “Ketika lawatan rasmi pertama saya ke Thailand pada Februari lepas membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan tenaga kerja”.

Beliau turut mengesahkan bahawa Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk mensasarkan nilai perdagangan kepada USD30 bilion menjelang 2025. Kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan sempadan Malaysia-Thailand jelasnya, memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa nilai dagangan terkini (2021) Malaysia – Thailand adalah USD23.64 bilion dan daripada jumlah itu, USD10.5 bilion disumbangkan melalui perdagangan di sempadan (border trade).

Maka jelaslah, “penubuhan PIP amat tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan dengan Thailand dan mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di NCER iaitu Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley”, kata Perdana Menteri lagi.

PIP katanya, mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi. Ini tambahnya lagi, “akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA”.

CVIA kata Ismail telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan, sekalipun ia baru sahaja dilancarkan. Ini jelasnya bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.

Perdana Menteri menambah, projek strategik nasional berimpak tinggi seperti PIP ini dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Perlis disamping memberi kesan limpahan ekonomi ke negeri-negeri lain ke dalam NCER.

Majlis Pelancaran PIP ini turut dihadiri Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Bin Man.