Semak semula Sistem Saraan Malaysia – CUEPACS

- Advertisement -

IPOH: Kajian secara serius perlu dilakukan bagi menyemak semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) agar hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

SSM telah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam sejak November 2002 bagi menambah baik skim saraan tetapi sehingga kini ia tidak pernah dikaji atau ditambah baik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan mengkaji semula skim sedia ada itu bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.

Menurut beliau, kajian semula SSM ini perlu dilakukan dengan kadar segera memandangkan skim tersebut digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup pada tahun 2002.

“Dalam tempoh 19 tahun ini kita telah berhadapan dengan pelbagai kos kenaikan sara hidup termasuk harga rumah yang begitu mendadak.

“Ketika ini gaji permulaan sektor kerajaan adalah sebanyak RM1,200 tanpa mengambil kira lain-lain elaun dan ia masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Kesatuan Pekerja Rendah Awam negeri Perak di sini hari ini.

Menurut Adnan, gesaan Cuepacs agar kerajaan mengkaji semula SSM ini tidak bermaksud mahu kerajaan melaksanakan perubahan itu segera tetapi sebagai langkah awal untuk pentaksiran baharu.

“Antara perkara yang perlu diberi penekanan dalam SSM baharu ini adalah penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan.

“Cuepacs bersedia untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kerajaan dalam menyemak dan memperbaharui semula SSM,” ujarnya.

_utusanonline_

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat