KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi akan melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan menambah pendapatan rakyat pada 26 Februari 2023.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sasaran pertama IPR adalah golongan miskin tegar dan keluarga B40 di seluruh negara.
Menurut beliau, Kementerian Ekonomi akan mengimbangi tumpuan untuk menstrukturkan ekonomi negara dengan keperluan ekonomi rakyat berhubung kos sara hidup dan gaji yang lebih baik dalam merangka perancangan ekonomi.
“Suasana ekonomi global yang dijangka menyederhana dan tumbuh pada kadar yang lebih perlahan dalam tahun 2023 akan mempengaruhi prestasi ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan pada kadar 2.9 peratus pada tahun 2023 berbanding 3.4 peratus pada tahun 2022.
“Oleh itu, dalam keadaan pertumbuhan ekonomi global yang dijangka lebih perlahan pada tahun 2023 dan pertumbuhan sukuan yang perlahan selama empat suku berturut-turut pada tahun 2022, kerajaan sedar keperluan untuk bersiap sedia menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar,” kata Rafizi dalam kenyataan pada Rabu.
Hal demikian kata beliau, program-program ekonomi yang memberi fokus kepada dua perkara pokok ekonomi rakyat, iaitu kos sara hidup dan pendapatan, akan diberi tumpuan utama dalam perancangan ekonomi.
“Kementerian Ekonomi juga meletakkan kedua-dua perkara ini sebagai fokus penambahbaikan dasar-dasar ekonomi negara dan program-program ekonomi rakyat yang mengambil pendekatan pelaksanaan bersepadu.
“Dasar-dasar bersabit penggajian rakyat akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri supaya dasar negara diselaraskan ke arah satu sasaran pertumbuhan gaji yang menyeluruh kepada semua golongan pekerja. Mesyuarat pertama MTEN dijangka akan diadakan pada bulan Mac 2023,” jelasnya.
Untuk rekod, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 8.7 peratus pada 2022.