Dua pengarah syarikat didakwa tipu bekal sarung tangan RM7 Juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pembekalan 670,000 kotak sarung tangan melibatkan kerugian RM7 juta, tahun lepas.

Bagaimanapun, Razalif Mohamad Zain, 30, dan Mohd Razimi Ramli, 31, masing-masing pengarah syarikat Metamorphosis Skills Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah menipu Pengarah Syarikat Monosa Holding Sdn Bhd, Mohammad Nor Sakhawi Mohd Subri, 29, dengan memperdayakannya bahawa mereka boleh membekalkan 670,000 kotak sarung tangan Hartalega Nitrile Examination Glove sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang lebih kurang RM7 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Connaught, Cheras di sini, antara Jun hingga Julai 2020, mengikut Seksyan 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashraf Appoo.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat