KUALA LUMPUR — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kerajaan Negeri Melaka adalah keputusan peribadi dan bukannya dibuat akibat tekanan dalaman parti seperti didakwa sesetengah pihak.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama kepimpinan parti termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan perlu dilihat dalam konteks keperluan memperkukuh gerak kerja Pemuda UMNO di peringkat akar umbi.
“Datuk Dr. Muhamad Akmal telah berbincang dengan saya dan juga Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan saya menghormati sepenuhnya pendirian beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.
“Keputusan ini memberi ruang dan masa kepada beliau untuk turun ke akar umbi, khususnya ke bahagian-bahagian, kerana kita mempunyai 119 bahagian Pemuda di seluruh negara,” katanya.
Beliau menegaskan langkah tersebut bukan satu pengunduran, sebaliknya satu penstrukturan semula peranan bagi menggerakkan jentera Pemuda secara lebih agresif dan tersusun.
“Mudah-mudahan dengan keputusan ini, beliau dapat menggerakkan jentera Pemuda dengan lebih berkesan. Itu hak peribadi beliau.
“Beliau tahu apa yang beliau lakukan dan sebagai Presiden parti, saya menghormati keputusan yang dibuat secara sedar dan bertanggungjawab,” katanya.
Mengulas dakwaan wujud tekanan sehingga mendorong Akmal melepaskan jawatan Exco, Ahmad Zahid menafikan perkara itu secara terbuka.
“Saya tidak fikir ini satu tekanan. Datuk Dr. Muhamad Akmal tahu apa yang beliau lakukan dan apa yang beliau ingin capai. Keputusan ini dibuat atas pertimbangan sendiri, bukan paksaan mana-mana pihak,” katanya.
Ditanya mengenai kehadiran Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini, Ahmad Zahid mengesahkan kehadiran bekas Ketua Pemuda itu adalah atas jemputan Datuk Dr. Muhamad Akmal dan dibuat dengan pengetahuan serta persetujuannya.
“Khairy Jamaluddin dijemput oleh Datuk Dr. Muhamad Akmal sebagai mantan Ketua Pemuda untuk hadir ke PAU 2025.
“Beliau telah memaklumkan kepada saya dan meminta restu, dan saya telah bersetuju. Saya melihat perkara ini dalam kerangka keterbukaan dan pembawaan, bukan sebagai satu isu atau tekanan,” katanya.
Mengulas persoalan mengenai tujuan Akmal melepaskan jawatan bagi memberi tumpuan untuk berdepan atau “melawan” DAP, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO tidak harus terperangkap dalam polemik atau perbezaan pandangan yang boleh melemahkan parti.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO perlu mengurus sebarang perbezaan secara matang dan rasional, berpaksikan kebijaksanaan serta kepentingan parti, bukannya didorong oleh sentimen atau persepsi sempit.
“Soal penerimaan itu bergantung kepada pembawaan yang akan kita terima. Kita akan menilai secara rasional dan menggunakan pertimbangan akal serta kebijaksanaan parti.
“Satu mesyuarat khas akan diadakan untuk membincangkan perkara ini demi kepentingan UMNO,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan parti ketika ini adalah untuk memperkukuh jentera, khususnya Pemuda UMNO, sebagai tunjang kekuatan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa dan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, bukan tertumpu kepada polemik atau naratif konfrontasi semata-mata.



