KUALA LUMPUR – Pas menyelar kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming yang tampil memperjelas maksud ham iaitu merujuk kepada daging yang telah diawetkan sekali gus menganggap pihak membuat kekecohan sebagai bodoh.
Kata Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari isu yang dikecohkan ialah sijil halal palsu bukannya maksud ham dan cheese.
“Isunya ialah sijil halal yang palsu, bukannya maksud Ham and cheese.
“Mereka yang prihatin dengan sijil halal ini ialah umat Islam yang mahukan makanan yang dimakan benar-benar diiktiraf halal oleh Jakim.
” Jika tiada langsung sijil halal, itupun tiada masalah, terpulang kepada pelanggan untuk buat keputusan. Tapi bila guna sijil halal palsu, itu bermaksud menipu atas nama halal,” tempelak Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Fadhli malah menyoal Kor Ming, “siapa yang ‘real idiot’ ni?
“Menteri yang mengaku datuknya seorang perajurit ni sila jawab!
“Tapi kalau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ulas isu ini, saya yakin dia akan kata.. “ oo ini isu kecil, kita akan lihat…bla bla wewenang tatakelola bla blaaaa”, ujar Fadhli.
Terdahulu dalam hantaran di akaun X, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengulas berhubung sandwic ham ayam dan keju yang dijual di kampus Universiti Malaya, selepas logo halal didakwa disalahgunakan pada sandwic yang telah dibungkus.
Kor Ming membidas pihak tertentu yang didakwanya membuat kekecohan mengenai perkara itu, berkata ham hanya merujuk kepada daging yang telah diawetkan.
“Kami mempunyai ham ayam belanda dan ham ayam, yang sesuai untuk dimakan. Begitu juga dengan root beer, yang diperbuat daripada akar sassafras yang tidak beralkohol dan baik untuk diminum.
“Untuk menjadikan isu daripadanya hanya menunjukkan siapa yang bodoh sebenarnya,” katanya dalam catatan di X.