KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin bukti bahawa Melayu boleh mengukir nama dalam apa jua bidang asalkan Melayu itu rajin dan ambil risiko.
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, Daim juga merupakan bukti bagaimana Melayu boleh berjaya bukan sahaja di dalam
negara tetapi di luar.
Bahkan katanya, Daim juga membuktikan kejayaan dalam perniagaan tidak semestinya melalui politik sahaja.
“Bermula sebagai seorang Peguam, kemudian menceburi bidang perniagaan akhirnya menjadi tokoh korporat gergasi. Semuanya sebelum memasuki politik.
“Daim juga tidak hanya jaga diri sendiri dan keluarga. Beliau telah sumbang kepada negara.
“Tiada siapa boleh nafi sumbangan beliau bantu ekonomi negara kali pertama pada 1980-an dan lagi sekali pada krisis ekonomi lewat 90-an.
“Kombinasi Daim dan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi antara lainnya kunci kepada pembangunan negara.
“Daim dikenali sebagai ‘economic trouble-shooter’ di bawah pentadbiran kali pertama Perdana Menteri ke-4,” kata Rafique dalam kenyataan media pada Rabu.
Bahkan selepas itu katanya, sekali lagi pada tahun 2018 untuk pentadbiran kali kedua Dr Mahathir, Daim kembali menyumbang pada negara.
“Daim banyak meninggalkan jasa pada negara. MAS, Airod, TNB, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semuanya bukti kejayaan dasar penswastaan.
“Ramai usahawan dan tokoh korporat melayu juga terhasil dari Dasar Ekonomi Baru (DEB), Ini bukti Melayu boleh berjaya.
“Daim contoh Melayu berjaya, sanggup berfikir di luar kotak dan curah ilmu bantu negara.
“Daim juga bukti bahawa yang penting adalah buat kerja bukan hanya bercakap. Ya, Daim yang diam, tapi kerja terlaksana.
“Semoga Allah SWT cucuri rahmat keatasnya dan takziah pada keluarga beliau,” kata Rafique.