Humanity Movement rayu bantuan kemanusiaan memasuki Gaza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Humanity Movement menggesa usaha tekanan politik global untuk membantu menamatkan sekatan bagi memudahkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza.

Dalam kenyataan bersama, Humanity Movement mereka merayu agar segala usaha dan koordinasi di peringkat global mengatasi apa-apa halangan kemanusiaan di kawasan ini.

Jelas NGO itu, adalah penting bahawa dunia memahami gerakan ini tidak menentang mana-mana negara tertentu.

“Kami meminta semua yang terlibat membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.

“Sekatan, di sempadan Rafah yang masih berlaku, melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza.

“Sekatan bekalan asas yang penting, merupakan satu lagi pelanggaran Konvensyen Geneva dan Konvensyen Hague, berfungsi sebagai peringatan yang menyedihkan tentang tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh Israel dan sekutunya Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu lagi.

Tambahnya, sambil kita meneruskan gesaan gencatan senjata segera untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza dan Tebing Barat, kita boleh memulakan langkah untuk memperbaiki kehidupan rakyat Palestin dan pelarian yang masih ada di negara ini sambil bertindak secara strategik untuk memboikot negara terlibat dari segi ekonomi.

“Dengan kerjasama Amerika Syarikat dan sekutu negara-negara Barat, kekejaman dan genosida masih berterusan malah dapat disaksikan oleh seluruh dunia.

“Negara Arab dan Islam gagal menghasilkan inisiatif bersama. Pemimpin yang mengambil bahagian dalam sidang kemuncak bersama luar biasa Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Sabtu lalu hanya mampu mengeluarkan deklarasi mengutuk perang Israel di Gaza.

“Bagaimanapun, mereka gagal melancarkan sekatan ekonomi terhadap Israel. Beberapa menteri luar Arab tidak bersetuju dengan usul yang dibawa oleh Algeria yang menyeru negara anggota OIC memutuskan sepenuhnya hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.

Selain itu, ujarnya negara Arab lain, yang telah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, menolak usul itu, menekankan keperluan untuk memastikan saluran terbuka dengan kerajaan Netanyahu.

“Sebaliknya, mereka menyeru agar operasi ketenteraan di Gaza ditamatkan serta-merta dan mengisytiharkan bahawa Israel bertanggungjawab atas “jenayah” terhadap rakyat Palestin.

“Israel sebagai kuasa penjajah mesti diingatkan tentang tanggungjawabnya untuk mewujudkan syarat bagi penghantaran segera makanan, air, elektrik dan bekalan perubatan ke Gaza.

“Bilangan trak bantuan yang melalui Rafah secara purata adalah 14 setiap hari, namun rakyat Palestine memerlukan sekurang-kurangnya 100 trak bantuan setiap hari untuk memenuhi keperluan asas.

“Pada masa biasa lebih 400 trak masuk ke Gaza setiap hari – melalui pelbagai laluan – untuk membekalkan 2.3 juta orang,” katanya.

Humanity Movement juga menyatakan, keputusasaan terhadap barangan keperluan seperti gandum dan roti mendorong penduduk Gaza memecah masuk ke gudang PBB pada 29 Oktober untuk merampas tepung dan barangan lain.

“Telah lebih dari sebulan sejak kekejaman Israel yang masih berterusan di Palestin. Angka kematian kini mencecah lebih 4,500 kanak-kanak, dan 3,000 wanita – orang awam, wartawan, kakitangan PBB dan pekerja penjagaan kesihatan, direkodkan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

“Menteri Kesihatan di Ramallah menyatakan secara keseluruhan, lebih 10,000 nyawa rakyat Palestin terkorban, dengan lebih 1.5 juta kehilangan tempat tinggal akibat serangan bom berterusan di Sekolah Pelarian PBB (UNRWA), hospital, gereja, dan masjid, termasuk kem pelarian.

“Lintasan sempadan Rafah yang dikuasai Mesir adalah laluan utama Gaza ke dunia luar yang tidak dikendalikan oleh Israel. Ia telah menjadi laluan utama untuk pengedaran bantuan kemanusiaan dan bagi pemegang pasport asing memasuki atau meninggalkan Gaza.

“Walaupun Israel tidak mengawal secara langsung lintasan Rafah, rejim Zionis memantau semua aktiviti di selatan Gaza dari pangkalan tentera Kerem Shalom, dan pos pengawasan lain. Israel tidak secara langsung mengawal lintasan Rafah, turut mengawal semua akses laut dan udara ke Gaza dan kebanyakan sempadan daratnya. Ia mengetatkan sekatan sedia ada kepada sekatan total selepas pada 7 Oktober, menjadikan Rafah sebagai satu-satunya pintu masuk untuk bantuan kemanusiaan.

“Mesir berkata Rafah terbuka tetapi tidak boleh beroperasi kerana pengeboman Israel di Gaza dan Israel meletakkan syarat menyebabkan bantuan terkandas di sempadan Mesir,” katanya.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat